Sidang Dewan Rakyat Ke-12: Sejarah tersendiri bakal tercipta

Oleh Sakina Mohamed / Bernama
Khamis, 03 April 2008
KL: Sebanyak 99 anggota Parlimen merupakan muka baru. Sebanyak 82 anggota pula daripada pembangkang. Persidangan Dewan Rakyat akan datang bakal mencipta sejarah tersendiri sejak pilihan raya umum pertama Malaysia pada 1959.

Dengan lebih 45 peratus anggota Dewan Rakyat terdiri daripada anggota Parlimen yang baru dan jumlah anggota pembangkang pula lebih empat kali ganda sejak pilihan raya umum 2004, ramai menjangkakan mesyuarat pertama persidangan ke-12 Dewan Rakyat, yang akan bermula 29 April ini, pasti lebih "rancak".

Mungkin lebih banyak rekod akan dicatatkan. Terdapat desas desus bahawa Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang baru mungkin daripada pembangkang.

Dalam temubual eksklusif dengan Bernama, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Ramli Ngah Talib berkata perkara itu serba berkemungkinan.

"Menurut Peraturan Mesyuarat, mana-mana anggota Parlimen boleh menamakan calon pilihan mereka dan kemudian (anggota Dewan) akan mengundi," katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Beliau berkata pencalonan perlu dikemukakan sekurang-kurangnya 14 hari sebelum upcara angkat sumpah, yang dijadual berlangsung pada 28 April.

Mengenai permintaan penasihat DAP Lim Kit Siang agar pengerusi Jawatankkuasa Bertindak Awam, turut dilantik daripada anggota pembangkang, Ramli berkata prosedur yang sama diguna pakai.

"Kita boleh kemukakan usul, lepas tu undi lah..pada hari yang sama (dengan pelantikan speaker dan timbalannya)," katanya.

Ramli selepas temubual itu turut menerima kunjungan Lim dan anaknya Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Mengenai tempat duduk anggota pembangkang dalam Dewan Rakyat, beliau berkata sepertimana dengan kebanyakan Parlimen di dunia, mereka akan ditempatkan di sebelah kiri Dewan Rakyat.

Dengan jumlah mereka yang memenuhi hampir separuh daripada Dewan Rakyat, boleh dibayangkan bahawa kehadiran mereka pasti akan memberikan kesan mendalam.

Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) perlu berkerja lebih keras untuk memastikan semua cadangan kerajaan diluluskan dan boleh dijangkakan bahawa ia tidak semudah sebelum ini bagi Rang Undang-undang diluluskan dan undang-undang dipinda.

"Tujuh puluh tujuh ialah anggota Parlimen biasa daripada BNBBC jadi daripada situ kita lihat pembangkang lagi ramai.

"Namun begitu, anggota BN lebih banyak menganggotai pentadbiran (kerajaan), iaitu menteri dan timbalan menteri. Jadi komposisi dan profil berlainan daripada dulu, tapi peraturan mesyuarat serupa," katanya.

Dengan desas desus sekarang mengenai lompat parti dan majoriti mudah yang dimenangi BN pada pilihan raya umum 8 Mac, ramai yang tertanya-tanya apakah yang akan berlaku sekiranya berlaku keadaan anggota Parlimen BN secara beramai-ramai menyertai pembangkang semasa persidangan Parlimen sedang berlangsung? Adakah Parlimen terpaksa dibubarkan?

"Tidak semestinya. Ini bukan mengenai lompat parti, ini ialah mengenai majoriti mudah.

"Jika nyata pembangkang mempunyai majoriti mudah, dengan itu Yang di-Pertuan Agong akan melantik Perdana Menteri daripada parti yang mempunyai majoriti mudah.

"Bagaimanapun, jika keadaan menjadi rumit, seperti anggota Parlimen lompat dari satu parti ke parti lain dan kemudian kembali semula ke parti asal, atau terdapat jumlah sama banyak di kedua-dua belah pihak, dengan itu Yang di-Pertuan Agong terpaksa membubarkan Parlimen dan mengadakan satu lagi pilihan raya umum," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan kekal sebagai Speaker, Ramli berkata beliau tidak tahu kerana kini beliau hanya menumpukan pada tugas pentadbiran untuk memastikan prosedur bagi mesyuarat pertama persidangan Dewan Rakyat selepas pilihan raya umum ke-12, berjalan lancar.

"Prosedur yang diguna pakai bagi pelantikan dua Timbalan Speaker juga terpakai bagi jawatan Yang Dipertua (Speaker)," katanya.

Pada sidang akhbar kemudiannya, Ramli menjelaskan mereka yang dicalonkan bagi jawatan Speaker Dewan Rakyat tidak semestinya anggota Parlimen walaupun mereka perlu dicalonkan oleh anggota Parlimen. Allahyarham Tun Dr Mohamed Zahir Ismail adalah seorang daripada Speaker berkenaan.

Bagaimanapun, untuk dilantik sebagai Timbalan Speaker, seseorang itu perlu terdiri daripada anggota Parlimen, katanya.

Menyentuh mengenai "rekod" lain dan keunikan persidangan akan datang, Ramli berkata ia juga yang pertama dalam sejarah di mana terdapat anggota Parlimen yang terdiri daripada ibu dan anak.

Beliau merujuk kepada ketua pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya Nurul Izzah Anwar.

Semasa ditemui di ruang legar bangunan Parlimen, Dr Wan Azizah berkata kini perbualan dalam keluarganya lebih didominasi dengan topik politik.

Nurul Izzah, sementara itu berkata beliau tidak sabar untuk menjalankan tanggungjawabnya terutama kepada penduduk Lembah Pantai, kawasan yang diwakilinya.

"Bagi persidangan, saya berharap ia berlangsung dalam suasana saksama dan tidak berat sebelah kerana apa yang penting ialah perbahasan dan kebimbangan yang akan dibangkitkan," katanya.

Mereka sebelum itu menghadiri taklimat bagi anggota Parlimen, yang dipercayai yang pertama seumpamanya pernah diadakan.

Taklimat itu antara lain meliputi prosedur dan peraturan serta kelayakan dan tuntutan yang boleh mereka kemukakan.

Persidangan ke-12 Dewan Rakyat akan dirasmikan oleh Yang-Dipertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 29 April.

No comments

Powered by Blogger.