11 ketua bahagian di K'tan dicabar

Kecuali Ketereh, Bachok dan Gua Musang, sebelas lagi ketua bahagian Umno di Kelantan dijangka dicabar dalam pemilihan parti, September ini.

annuar musaKetua Umno Ketereh ialah Datuk Seri Annuar Musa yang juga ketua perhubungan Umno negeri, manakala ketua Umno Gua Musang ialah Tengku Razaleigh Hamzah dan Bachok pula Datuk Awang Adek Hussein.

Mesyuarat cawangan Umno akan bermula 17 Julai ini, manakala mesyuarat bahagian bermula pada 9 Oktober depan. Perhimpunan agung yang akan menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan Umno akan berlangsung pada 16-21 Disember depan.

"Tindakan mencabar ketua-ketua bahagian ini merupakan satu tindakan protes ahli-ahli Umno terhadap kepimpinan bahagian ekoran kekalahan teruk dalam pilihanraya umum lalu.

"Mereka mahu menukar muka-muka lama yang dilihat tidak mampu menghadapi pembangkang termasuk dalam pilihanraya umum akan datang," kata sumber-sumber Umno negeri.

Ketua bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Dr Nik Zain Nik Omar menghadapi saingan tiga penjuru. Beliau bakal dicabar oleh ketua pemuda Umno negeri, Dali Husein dan muka baru, Rofli Ishak.

Pengerusi syarikat perkapalan Nepline Berhad itu, sudah tiga penggal menjadi ketua bahagian dan juga tiga kali bertanding dalam pilihanraya umum tetapi semuanya kalah.

Manakala di Kubang Kerian pula, ketua bahagian sekarang, Mohd Fauzi Ismail, akan dicabar oleh timbalannya, Ghani Mamat.

Pertahan jawatan

Di Pasir Putih, Datuk Kamaruddin Mohd Noor yang sudah empat penggal tidak dicabar, kali ini akan berdepan saingan empat penjuru.

Beliau bakal dicabar oleh Zawawi Ismail (ketua pemuda bahagian), Hashim lsmail (naib) dan Datuk Shukri Mohamad (bekas Ahli Dewan Undangan Negeri).

Ketua bahagian Pasir Mas, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman pula dijangka tidak mempertahankan jawatan kal ini.

Ini dan memberi peluang kepada timbalannya, Hanafi Mamat berentap dengan ahli jawatankuasa bahagian, Fauzi Mamat untuk.

Manakala ketua bahagian Rantau Panjang, Datuk Mohd Zain Ismail dijangka dicabar oleh timbalannya, Abdullah Mat Yassim.

Manakala di Kuala Krai pula, penyandang Datuk Ramzi Abdul Rahman dijangka dicabar bekas ketua bahagian, Datuk Wan Zaid Abdullah dan Sayed Mohd Ali Saipuddin Sayed Yacob yang kini timbalan ketua bahagian.

Di bahagian Tanah Merah, jawatan ketua bahagian kosong ekoran kematian penyandangnya Datuk Hashim Shafin.

Undur diri

Ekoran itu, dua calon akan berentap merebut jawatan tersebut. Mereka ialah pengerusi Redland Berhad, Datuk Ismail Hassan yang juga bendahari Umno bahagian dan bekas ketua pemuda bahagian Datuk Ikmal Hisham.

Manakala di Machang pula, ketua bahagian sekarang Datuk Ismail Mamat disebut-sebut akan mengundurkan diri atas faktor usia.

sazmi miahBerikutan itu, dua nama disebut-sebut akan mengisi kekosongan tersebut. Mereka ialah timbalan ketua bahagian, Datuk Jazlan Yaakob dan bekas ahli Parlimen Machang, Datuk Sazmi Miah yang kini ketua pemuda bahagian.

Di Jeli, menteri pertanian dan industri asas tani, Datuk Mustapa Mohamad dijangka dicabar oleh bekas ketua Pemuda bahagian, Zahari Kechik.

Berbanding bahagian lain, Kota Baru bakal menyaksikan `perang besar' antara menteri jabatan perdana menteri, Datuk Zaid ibrahim dengan setiausaha politik timbalan perdana menteri, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh.

Zaid dianggap mewakili kumpulan perdana menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi manakala Mohd Fatmi pula dari kumpulan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

No comments

Powered by Blogger.