ada bukti anwar berada dimana pada 26hb

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan mengumumkan fakta dimana beliau berada pada 26 Jun lalu iaitu tarikh yang didakwa Saiful Bukhari Azlan sebagai tarikh kejadian liwat kononnya berlaku.


Dalam ceramahnya di Stadium Melawati Shah Alam malam tadi, Anwar menyatakan penjelasan mengenai hal itu akan dibuat dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Saiful Bukhari yang membuat laporan di Pondok Polis HKL di bawah kawalan Jalan Travers mendakwa beliau diliwat Anwar pada 26 Jun lalu di Kondominium Desa Damansara.

Bagaimanapun Anwar menafikan dakwaan itu sejurus selepas laporan mengenai dakwaan liwat itu diketahuinya.

Di hadapan 10,000 penyokongnya, Anwar turut menegaskan bahawa tuduhan yang dihadapkan ke atasnya itu adalah 'rekaan' semata-mata untuk menjatuhkan beliau.

Malah beliau menyesyaki tuduhan itu dilakukan kerana niat jahat pihka tertentu tatkala melihat sokongan terhadap Pakatan Rakyat semakin meningkat.

Kenyataan itu disambut dengan sorakan oleh para penyokong yang setia menanti penjelasan Anwar sejak isu tuduhan liwat ke atas beliau dilaporkan media Ahad lalu.

Turut berceramah antaranya, Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali dan Sivarasa Rasiah.

Sementara itu Anwar juga memberitahu penyokongnya bahawa beliau telah membuat satu laporan polis terhadap Ketua Polis Negara dan Peguam Negara berhubung penyelewengan fakta laporan kes 'mata lebam pada tahun 1998.

Menurut Anwar laporan polis itu berhubung siasatan kes beliau ditumbuk (mata lebam) oleh bekas ketua polis negara Tan Sri Rahim Noor pada 1998 yang didakwa melibatkan penyelewengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Anwar percaya Musa Hassan dan Gani Patail telah hadir di Bukit Aman pada 20 September 1998 dan mengetahui mengenai serangan Tan Sri Rahim Noor terhadapnya.

"Musa dan Gani selanjutnya menyembunyikan fakta mengenai serangan terhadap saya daripada pengetahuan umum sehinggalah mata saya yang lebam dan kecederaan yang saya alami didedahkan di mahkamah," katanya sambil disambut oleh sorakan gemuruh penonton.


Dalam ceramah tersebut juga Anwar mengecam sebarang percubaan jahat untuk menjatuhkannya.

Bagi Anwar kerja-kerja sedemikian adalah kerja golongan yang terdesak yang tidak mahu melihat Pakatan Rakyat menuju ke Putrajaya untuk mengambil alih pemerintahan.

Justeru beliau memberi amaran kepada pihak yang cuba untuk menjatuhkan reputasi beliau agar berhati-hati kerana beliau tidak akan tertipu dengan permainan mereka ini.

No comments

Powered by Blogger.