Anwar bebas pagi ini, polis kaji guna mahkamah uji DNA

ANWAR Ibrahim melambai ke arah jurugambar setibanya di rumahnya di Bukit Segambut, Kuala Lumpur selepas dibebaskan atas jaminan polis pagi tadi. - foto The Star oleh ZULAZHAR SHEBLEE


Beliau dibebaskan kira-kira 9.40 pagi tadi.

Tiada sebarang pertuduhan dikenakan terhadap Anwar hari ini.

Pada 18 Ogos ini, Anwar akan kembali memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur kira-kira pukul 9 pagi.

Dalam sidang akhbar di Bukit Aman, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata pihaknya akan mendapatkan perintah mahkamah untuk menjalankan ujian DNA ke atas Anwar.

Anwar yang mengadakan sidang media hampir pada waktu yang sama iaitu kira-kira 2.30 petang di kediamannya di Bukit Segambut pula memberitahu, beliau hanya memberikan sampel untuk ujian DNA jika diarahkan berbuat demikian.

Terdahulu pada pukul 9.45 pagi, Anwar keluar dari IPK melalui pintu belakang dan meninggalkan premis itu dengan kereta pacuan empat roda warna hitam yang dinaiki isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menuju ke rumahnya di Bukit Segambut.

Anwar dilihat melambai tangan dari dalam keretanya ke arah petugas media yang cuba mengejar kenderaan beliau.

Semalam Naib Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi mendapatkan jaminan keselamatan.

Abdullah memberi jaminan insiden mata lebam 1998 tidak akan berulang.

No comments

Powered by Blogger.