Anwar beri keterangan pada BPR di Putrajaya
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di ibupejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya pada jam 10.05 pagi tadi untuk memberi keterangan berhubung laporannya terhadap Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan sri Abdul Gani Patail.
Anwar tiba dengan ditemani oleh dua peguamnnya, Sivarasa dan Sankaran Nair.
Sebelum ini, Anwar yang juga ketua umum PKR membuat laporan polis terhadap Musa dan Abdul Gani yang didakwanya mereka bukti dalam perbicaraannya 10 tahun yang lalu.
Pada masa itu, Musa adalah pegawai penyiasat manakala Abdul Gani pula merupaka ketua pendakwaraya kes terhadap Anwar.
Apabila Anwar ditahan pada 20 September 1999, beliau dibawa ke ibupejabat di Bukit Aman di mana mantan timbalan perdana menteri itu dipukul oleh KPN ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor, menyebabkan matanya lebam dan mengalami kecederaan lain di badannya.
Anwar berkata, laporan asal perubatan yang disediakan oleh beberapa orang doktor telah diketepikan.
Dalam laporannya itu, Anwar berkata, laporan perubatan menyimpulkan bahawa kecederaan yang dialaminya adalah akibat dipukul.
Bagaimanapun, Anwar berkata, laporan tersebut tidak diterima dan mereka yang memukulnya tidak didakwa, sebaliknya Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Mokhtar Abdullah - yang didakwanya berpakat dengan Abdul Gani - meminta doktor lain, Dr Abdul Rahman Yusof, mereka laporan perubatan kedua.
Anwar berkata, beliau percaya, Musa dan Abdul Gani berada di Bukit Aman pada malam beliau dipukul oleh Abdul Rahim dan kedua-duanya "merahsiakan" kejadian tersebut.
Sehubungan itu, Anwar mendesak supaya satu siasatan baru dijalankan terhadap dakwaan mereka bukti, yang boleh dihukum sehingga tujuh tahun penjara.
BPR menjalankan tugas menyiasat dakwaan tersebut memandangkan ia membabitkan pihak polis dan pejabat peguam negara.
Musa dan Gani telah dipanggil memberi keterangan berhubung laporan Anwar pada 11 Julai lalu.
Musa memberi keterangan lebih empat jam, manakala Gani pula memberi keterangan selama kira-kira 40 minit.
No comments
Post a Comment