Fairus nafi letak jawatan

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin hari ini menafikan khabar angin kononnya beliau telah meletak jawatan berikutan timbul masalah dengan Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Bernama melaporkan beliau berkata khabar angin yang tersebar melalui SMS itu berniat jahat terhadap pimpinan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang.

"Saya masih di sini, khabar angin tetap khabar angin. Pakatan Rakyat sedang berjuang untuk mengambil alih kerajaan persekutuan dan ada pihak macam cuba mengalihkan hal ini dengan menyebarkan SMS berhubung perkara itu (letak jawatan).

"Pihak berkenaan cuba mengalih tumpuan rakyat dengan mereka-reka cerita seperti ini," katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat exco kerajaan negeri Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh Lim.

Mohammad Fairus berkata beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan Ketua Menteri dan pemimpin Pakatan Rakyat yang lain di negeri ini.

Lim turut menegaskan bahawa beliau tidak ada sebarang masalah untuk bekerjasama dengan Mohammad Fairus.

No comments

Powered by Blogger.