jangan menghancurkan parti-pas jangan main belakang

PAS-UMNO: Jangan Main Belakang

Biarlah UMNO terjun dengan Dollahnya, biarkan! Biarkan!

Mengapa ada pemimpin ‘tertinggi’ PAS sanggup main belakang untuk bertemu dengan Abdullah? Atau ini semua hanyalah mainan Abdullah untuk menghuru-harakan PAS terutamanya apabila mengambil kira,

• PAS akan berdepan dengan Muktamar Tahunannya bulan Ogos ini.
• UMNO akan berdepan dengan Mesyuarat Agung Bahagian Ogos ini.
• September ini adalah tarikh yang disebut oleh Anwar bila Kerajaan Abdullah akan tumbang dan Pakatan Rakyat akan menubuhkan Kerajaan baru.

Ramai yang telah menggelempar. Saudara saya Bakaq Penarik Beca dah lama menggelempar dengan isu ini. Pelbagai tuduhan telah dilemparkan terhadapnya tanpa pertimbangan belas dan kasihan. Sehingga Timbalan Presiden PAS pernah di lobi Parlimen mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menyebarkan perkhabaran UMNO-PAS main belakang. Tetapi Bakaq tetap tabah.

Saya juga sudah lama menggelempar dengan isu ini. Menggelempar memendam rindu dan dendam untuk memblog tentangnya tetapi kerana kasih dan kasihan terhadap pemimpin-pemimpin PAS yang saya rapati, saya biarkan diri saya menggelempar sendirian tanpa rela mahu melihat tulisan saya membuat banyak pihak menggelempar dan menyerang pemimpin-pemimpin PAS yang saya rapati.

Di dalam senyap dan sunyi, saya mengulangi hari demi hari kenyataan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz, di malam 8 Mac 2008 bertempat di Pejabat Perhubungan PAS Kelantan sewaktu sidang media menyambut kemenangan rakyat di dalam Pilihanraya Umum ke 12.

“Saya tidak rela melihat PAS kembali ke dalam Barisan Nasional!” begitulah ungkapan Mursyidul Am PAS yang ketika itu dikapit oleh Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden Pas dan Dato’ Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Lalu dalam sunyi dan sepi saya teringatkan Asri Haji Muda, bekas Yang DiPertua PAS yang tiga kali mencuba untuk bekerjasama dengan UMNO.

• Asri membawa PAS menyertai Kerajaan Campuran bersama UMNO dan kemudiannya membawa PAS menyertai Barisan Nasional.
• Asri keluar dari PAS dan menubuhkan HAMIM dan bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional.
• Asri menyertai UMNO.

Arwah sudah meninggalkan kita. Mungkin jika kita bertafakur sejenak, banyak yang mampu dikutip dari perjuangan Arwah, baik atau tidak baik, penuh pengajaran buat kita.

Mengapa perlu satu muzakarah untuk menyelamatkan bangsa Melayu? Mengapa perlu PAS bermuzakarah dengan UMNO untuk menyelamatkan bangsa Melayu.

• PAS bukan Parti yang memperjuangkan Bangsa Melayu.
• UMNO sudah memperjuangkan hak Bangsa Melayu sejak 1946 lagi.
• Kalau UMNO dianggap gagal memperjuangkan hak Bangsa Melayu sejak 1946 lagi, mengapa perlu PAS menghulurkan bantuan buat UMNO.

PAS sefaham saya memperjuangkan sebuah Kerajaan Berteraskan Ajaran Islam untuk semua umat manusia. Mengapa PAS hari ini perlu kecilkan skop menyebarkan kebaikan seperti skop UMNO.

PAS era kepimpinan Ulama’ telah memerintah Kelantan 18 tahun,

• Apakah PAS gagal membela hak orang Melayu di Kelantan sepanjang tempoh itu hingga perlu bermuzakarah dengan UMNO?
• Apakah PAS yang memerintah Kelantan sepanjang 18 tahun berteraskan Islam perlu menjadi sebuah Parti Nasionalis.
• Apakah PAS gagal dengan Pemerintahan Islamnya hingga perlu bermuzakarah dengan Parti yang memperjuangkan Islam Hadhari yang selama ini menjadi kritikan PAS?

PAS kini mempunyai rakan kongsi yang prihatin dan menyanjung satu sama lain. PKR dan DAP bersama PAS didalam Pakatan Rakyat telah membuktikan ianya adalah satu resipi yang berjaya,

• Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang dari DAP sendiri menerima teknik-teknik pemerintahan tokoh Islam dan beberapa kali membuktikan bahawa dia jauh lebih prihatin terhadap orang-orang Islam di bawah pemerintahannya berbanding dengan UMNO sendiri.
• Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor dari PKR membuktikan beliau mengutamakan ketelusan sambil mengambil berat tentang masyarakat Cina dan India dibawah pemerintahannya.
• Di negeri Perak, walaupun PAS adalah minoriti tetapi PAS berjaya membuktikan kewibawaan Menteri Besar Nizar dari PAS dengan bakat kepimpinan tinggi dan amat prihatin dan amat disanjung oleh masyarakat bukan Islam.

Apa yang berlaku hari ini adalah satu persediaan untuk anggota komponen Pakatan Rakyat merubah sikap ektremis mereka dan menjadikan komponennya parti politik untuk semua yang kelak mempunyai masa depan yang amat cerah di dalam pilihanraya umum akan datang.

Ianya tidak susah kerana,

• Belum pernah orang PAS mati dibunuh oleh DAP.
• Belum pernah orang DAP mati dibunuh oleh PAS.
• PAS mendapat keputusan terbaik pilihanrayanya sewaktu Dato’ Seri Anwar Ibrahim berpenat lelah berkempen untuk pembangkang.

Dan kita semua masih ingat berapa ramai penyokong PAS yang gugur di tangan Kerajaan Pemerintahan UMNO dan Barisan Nasional. Berapa ramai pemimpin PAS disumbat ke dalam ISA di bawah kerajaan yang sama.

Oleh yang demikian, sesuatu yang amat pelik dan mustahil untuk PAS menghantar wakil mereka bertemu dengan Abdullah atas dasar kepentingan Melayu dan Islam. PAS bukan Parti Melayu dan PAS dan rakan-rakan politiknya telah membuktikan mereka penegak Islam dan penegak hak agama-agama lain.

Mungkinkah Abdullah sebenarnya bermimpi didatangi oleh sekumpulan dua tiga orang lelaki berserban dan kopiah lalu menyangka mimpi itu sebenarnya benar-benar berlaku dan kerana mereka memakai serban dan kopiah maka mereka tentu dari PAS?

Atau mungkinkah Abdullah benar-benar telah bertemu dengan sekumpulan dua tiga orang lelaki yang membahasakan dirinya ‘ana’ dan memanggil Abdullah sebagai ‘anta’ dan memandangkan pertemuan ini telah berlaku sebanyak 3 kali maka Abdullah yakin mereka ini tentu adalah perwakilan tertinggi PAS.

Mimpi atau tidak, boleh jadi dua tiga orang lembaga berserban atau berkopiah dan berbahasa ‘ana’-‘anta’ ini sebenarnya satu senario dari filem P. Ramlee yang ditonton Abdullah sewaktu mencuri tulang.

Mungkin mereka penyamun dari filem Ali Baba Bujang Lapok atau Enam Jahaman yang masih belum dipangkah mukanya yang mencari Abdullah untuk main belakang bagi mendapat secebis harta pusaka warisan Negara dan bergelar Menteri.

Apa yang pasti, berdasarkan kata-kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz, sudah tentu sekali mereka yang datang menemui Abdullah melalui jalan belakang ini bukan mewakili PAS.

PAS tidak perlu menonggengkan tubuhnya dan membiarkan UMNO menandatanginya dari belakang lalu menunggangnya ke pusara. UMNO dan PAS, tak perlu hidup berdua, mati bersama!

http://kickdefella.wordpress.com

No comments

Powered by Blogger.