Pak Lah umum bersara 2010, laluan Najib tidak semudah dijangka

INI PENGGANTI SAYA... Mungkin ini yang cuba disampaikan oleh Abdullah Ahmad Badawi dengan menepuk bahu Mohd. Najib Tun Razak (kiri) pada sidang akhbar yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur petang tadi. - foto The Star Art Chen

(Dikemas kini) PETALING JAYA: Selepas 12 jam Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pelan peralihan kuasa dengan menamakan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sebagai penggantinya Jun 2010, langkah beliau diterima secara bercampur aduk dengan pelbagai teori diketengahkan tentang kemungkinan yang bakal dilalui sepanjang 23 bulan akan datang.

Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh yang telah pun menawarkan diri untuk mencabar Abdullah bagi jawatan Presiden Umno Disember menyifatkan pengumuman semalam sebagai langkah silap.

Penganalis-penganalisis politik pula melahirkan pandangan yang berbeza terhadap pelan peralihan kuasa yang diumumkan petang semalam.

Pensyarah Pusat pengajian Undang-undang dan Pentadbiran Awam Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussein berkata pelan tersebut harus dilihat dari dua aspek yang berbeza.

Beliau berkata, aspek pertama dapat dilihat dari sebab mengapa Perdana Menteri menetapakan tempoh masa dua tahun untuk peralihan kuasa.

Katanya, tempoh tersebut ditetapkan kerana Abdullah berpendapat beliau perlu mengukuhkan parti terlebih dahulu sebelum menyerahkannya kepada Najib.

“Namun keadaan politik semasa yang berlaku akan mempengaruhi landskap politik yang cuba dicapai oleh Umno dan Barisan Nasional dalam usaha mengukuhkan kedudukan mereka kembali,” kata beliau ketika dihubungi mStar Online.

Jelas beliau, isu-isu yang melanda kerajaan Pakatan Rakyat seperti isu liwat melibatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, isu korupsi pemimpin PKR di Selangor serta Perjanjian Pangkor II di Perak mengakibatkan kenyakinan terhadap pembangkang sedikit terjejas.

“Saya lihat isu-isu tersebut telah membuka mata rakyat untuk memberi respons positif kepada Pak Lah. Namun adakah sokongan itu akan berterusan?” ujarnya.

Jelasnya, beliau lebih cenderung memilih aspek yang kedua yang merupakan suara ahli Umno di peringkat akar umbi yang mahu peralihan kuasa dicepatkan.

“Hampir dua pertiga ahli Umno yang saya temui mahu peralihan kuasa dipercepatkan, kerana mereka mahu parti dikukuhkan dengan segera. Saya lihat ia perlu dilaksanakan sebelum pemilihan parti Disember ini,” katanya.

Tegasnya, ramai ahli Umno berpendapat proses peralihan kuasa perlu dilaksanakan segera sebelum pemilihan parti Disember ini.

“Ramai ahli Umno menyatakan mereka mahu Pak Lah serah kuasa kepada Najib dengan segera baru pulihkan parti.

“Saya lihat cadangan ini lebih sesuai, namun terpulang kepada ahli-ahli Umno untuk menentukannya,” katanya.

Tambahnya, tempoh dua tahun yang diletakkan itu terlalu lama dan keadaan politik ketika itu pasti berbeza dan mungkin juga BN akan kehilangan banyak sokongan rakyat.

“Tempoh dua tahun agak lama dan apa sahaja boleh berlaku dalam politik. Sekarang ini PAS sudah mendapat tempat saya bimbang jika ia tidak dibendung BN akan kehilangan lebih banyak kerusi kelak,” katanya.

Sementara itu, pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Mohd Agus Yusof menyifatkan tindakan Perdana Menteri semalam merupakan satu kaedah bagi meredakan keadaan politik dalam Umno.

“Ia (pelan peralihan kuasa) tidak lebih kepada satu kaedah untuk redakan politik dalam Umno itu sendiri dan saya rasa tindakannya itu tidak salah,” katanya.

Menurutnya, pelan itu akan berfungsi jika Umno tidak menyekat proses demokrasi yang pada pemilihan parti Disember ini.

“Asalkan ia (peralihan kuasa), tidak menyekat peluang untuk sesiapa sahaja bertanding dalam pemilihan parti nanti. Saya rasa pelan tersebut akan berjaya,” katanya.

Namun demikian, tegas beliau, peralihan kuasa tidak lebih sebagai satu janji

“Politik satu perkara yang dinamik dan boleh berubah mengikut keadaan dan perlu di ingat senario politik boleh berubah bila-bila masa,” katanya.

Tambahnya, apa yang perlu diingat terdapat halangan-halangan yang perlu dilalui sebelum pelan peralihan kuasa itu terlaksana.

Seorang lagi pensyarah UKM, Dr. Ahmad Nizamudin Sulaiman berkata, ramai yang terkejut dengan pengumuman Abdullah semalam.

Menurutnya, ramai menyangka Abdullah akan mengumumkan peralihan kuasa secepat mungkin sebelum pemilihan parti Disember ini tetapi ternyata jangkaan itu meleset sama sekali.

"Ramai ahli Umno menjangka peralihan kuasa sebelum pemilihan parti. Nampaknya jangkaan itu meleset sama sekali," katanya.

Tambahnya, perkara tersebut akan menambah kekecewaan ahli-ahli Umno yang mahukan perubahan pucuk pimpinan.

"Dari aspek politik, ia memberi kesan kepada Barisan Nasional dan Umno itu sendiri kerana pasti timbul rasa tidak selesa di kalangan ahli yang mahukan perubahan," katanya.

BERITA TERDAHULU

Pak Lah umum tarikh bersara, Najib PM baru Jun 2010

(Mutakhir) KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan beliau akan menyerahkan tampuk kepimpinan negara dan parti secara berperingkat kepada timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak menjelang pertengahan 2010.

Peralihan kuasa Abdullah-Najib berkuat kuasa mulai hari ini dan akan lengkap sepenuhnya Jun 2010.

Perkara ini diumumkan oleh Abdullah selepas majlis Taklimat Presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini sebentar tadi.

Kata Abdullah, keputusan mengatur peralihan kuasa ini tidak dipengaruhi oleh sebarang bentuk tekanan dalam Umno supaya beliau meletakkan jawatan.

Abdullah telah didesak oleh pelbagai pihak supaya beliau berundur daripada jawatan Presiden Umno dan Perdana Menteri ekoran keputusan kurang memberangsangkan parti itu dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-12 8 Mac lalu.

Malah, Abdullah yang mengambil alih kepimpinan parti dan kerajaan pada Oktober 2003 juga mengulangi bahawa beliau akan mempertahankan jawatannya pada Disember ini dan mahu Najib kekal sebagai timbalannya.

Abdullah, 69, juga merupakan Pengerusi BN dan Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang.

Pada sidang akhbar hari ini Abdullah juga mengumumkan bahawa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden boleh ditandingi oleh sesiapa sahaja.

Kata Abdullah, dengan keputusan itu beliau tidak akan memimpin BN pada pilihan raya umum akan datang yang dijangka pada 2012 atau 2013.

"Saya ambil kesempatan memaklumkan kepada anggota Majlis Tertinggi pada mesyuarat tadi bahawa saya telah mencapai kesepakatan dengan Najib bahawa saya tidak akan mempimpin parti BN dan Umno pada pilihan raya yang akan datang yang ke-13.

"Dan juga ini bermakna satu peralihan kuasa perlu diwujudkan. Saya maklumkan kepada MT ia bermula dengan apa yang saya umumkan hari ini.

"Iaitu saya bercadang untuk menyerahkan jawatan kepada Najib untuk ambil alih jawatan presiden parti dalam pertengahan Jun atau pertengahan tahun 2010," katanya.

Kira-kira tiga minggu lalu ketika berada di Kelantan dan Terengganu, Abdullah mengumumkan bahawa beliau telah mencapai kata sepakat dengan Najib berhubung peralihan kuasa dan tarikhnya akan diumumkan kelak.

Ketika ditanya mengapa memilih tempoh 23 bulan untuk menyerahkan kuasa, Abdullah memberitahu, beliau mahu memberi masa yang cukup kepada Najib untuk bersedia memikul tanggungjawab tersebut.

Selain itu, kata Abdullah, beliau mahu memastikan program pembangunan yang dirancang termasuk Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dilaksanakan dengan sebaik yang mungkin menjelang tahun 2010.

RMK-9 merupakan yang pertama diperkenalkan di bawah kepimpinan beliau sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 2003.

Abdullah menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri lima tahun lalu dengan Najib menjadi timbalannya.

Kedua-dua mereka menang tanpa bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada 2004.

Mengenai pandangan anggota MT berhubung keputusan beliau itu, Perdana Menteri berkata mereka telah memberi pandangan masing-masing dan akhirnya mempersetujui keputusannya.

Beliau menganggap standing ovation oleh pemimpin parti peringkat bahagian dalam Dewan Merdeka hari ini sebagai tanda mereka bersetuju.

"Kita harap perkara ini disampaikan ke peringkat anggota akar umbi yang tentunya bertanya apa yang berlaku dan apa yang terjadi.

"Jadi saya harap kepimpinan peringkat bahagian ini memaklumkan apa yang dipersetujui antara saya dan Datuk Seri Najib," katanya.

Kata beliau, tempoh sepanjang proses peralihan kuasa itu juga memberi peluang kepada Najib untuk berinteraksi dengan pemimpin-pemimpin negara lain.

Persidangan akhbar yang turut dihadiri Najib itu berlangsung dalam suasana ceria dan selepas selesai membuat pengumuman Abdullah telah meminta Najib untuk bercakap kepada pemberita sebelum mereka menjawab pertanyaan-pertanyaan.

Abdullah berkata, kerjasama dan persefahaman baik antara beliau dengan Najib mengenai isu yang samasama dihadapi dalam parti dan kerajaan adalah dihargai.

Katanya, mereka banyak menganggotai mesyuarat jawatankuasa kabinet berkaitan isuisu penting dan Najib juga menjalankan tugastugas lain dan mempengerusikan jawatankuasa lain yang ditugaskan kepada Najib.

Mengenai pandangan anggota MT berhubung keputusan beliau itu, Perdana Menteri berkata mereka telah memberi pandangan masingmasing dan akhirnya mempersetujui keputusannya.

Beliau menganggap "standing ovation" oleh pemimpin parti peringkat bahagian dalam Dewan Merdeka hari ini sebagai tanda mereka bersetuju.

"Kita harap perkara ini disampaikan ke peringkat anggota akar umbi yang tentunya bertanya apa yang berlaku dan apa yang terjadi. "Jadi saya harap kepimpinan peringkat bahagian ini memaklumkan apa yang dipersetujui antara saya dan Datuk Seri Najib," katanya.
Mengenai Najib yang dikaitkan dengan pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, beliau berkata ia merupakan suatu perkara yang lain dan tidak berkaitan dengan keputusan parti pada hari ini.

Majlis Tertinggi (MT) Umno selesai mengadakan mesyuaratnya kira-kira pukul 5.30 petang tadi dan disusuli dengan Taklimat Presiden di Dewan Merdeka.

Taklimat diberikan oleh Abdullah yang turut mempengerusikan mesyuarat MT lebih dua jam.

Mesyuarat MT dan Taklimat Presiden diadakan kira-kira seminggu menjelang mesyuarat agung tahunan lebih 20,000 cawangan Umno.

Taklimat Presiden diberikan kepada 191 ketua Umno bahagian.

BERITA TERDAHULU

Majlis Tertinggi (MT) Umno telah selesai mengadakan mesyuaratnya sebentar tadi dan kini berlangsung Taklimat Presiden di Dewan Merdeka.

Taklimat diberikan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang turut mempengerusikan mesyuarat MT lebih dua jam.

Sesi Taklimat Presiden juga akan berlangsung kira-kira dua jam, yang antara lain beliau dijangka menyentuh soal peralihan kuasa.

Difahamkan beliau akan mengumumkan tarikh peralihan kuasa yang dijangka berkuat kuasa 2010.

BERITA TERDAHULU:

(Dikemas kini) PETALING JAYA: Ketika tinggal kurang seminggu cawangan-cawangan mula bermesyuarat agung tahunan, Majlis Tertinggi (MT) Umno yang bermesyuarat mulai pukul 3.15 petang ini djangka membincangkan usul Presiden dan Timbalan Presiden dipilih tanpa tandingan.

MT telah juga akan membincangkan dengan lebih mendalam tentang peralihan kepimpinan parti.

Keputusan penting ini dijangka diumumkan pada petang ini - ketika Taklimat Presiden yang akan menyusul mesyuarat MT.

Difahamkan, walaupun anggota MT tidak menerima agenda khusus mesyuarat petang ini tetapi usul sedemikian akan dibawa dalam pertemuan hari ini.

Presiden dan Timbalan Presiden Umno semasa iaitu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak telah dipilih tanpa cabaran empat tahun lalu.

Usul ini juga dipercayai untuk memastikan proses peralihan kuasa yang lancar selepas prestasi kurang memberangsangkan Umno dalam pilihan raya umum lalu.

"Difahamkan sudah ada usaha untuk membawa usul itu hari ini. Sejauh mana ia akan berjaya belum dapat dipastikan," kata sumber itu kepada mStar Online.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman ketika dihubungi memberitahu, jika berpeluang beliau akan membangkitkan pandangan sedemikian dalam majlis Taklimat Presiden petang ini.

Ia penting untuk memperkukuh dan memantapkan Umno menjelang pilihan raya umum akan datang, katanya.

Sumber itu juga memberitahu jika usul itu dibawa, akan menyaksikan perbahasan yang mendalam memandangkan ada pihak yang mahu pertandingan diteruskan bagi menunjukkan amalan demokrasi dalam parti masih subur.

MT Umno mengadakan pertemuan petang ini, yang kedua selepas menganjurkan program retreat lebih sebulan yang lalu.

Mesyuarat hari ini juga penting memandangkan mesyuarat agung tahunan peringkat cawangan akan bermula Selasa depan. Mesyuarat cawangan disusuli dengan persidangan bahagian Oktober ini dan pemilihan pusat Disember ini.

Minggu lalu Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang telah menyatakan pendirian untuk mencalonkan Abdullah dan Najib masing-masing mengekalkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Pendirian yang sama dilahirkan oleh Badan Perhubungan Selangor dan Melaka. Perlis juga mempunyai pendirian yang sama.

Pemilihan kali ini juga dikatakan penting selepas timbul pandangan supaya Abdullah melepaskan jawatannya ekoran prestasi buruk Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-12 8 Mac lalu.

Abdullah dipilih sebagai Presiden pada tahun 2004 selepas mengambil alih kepimpinan daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad Oktober 2003.

Najib pula dipilih sebagai Timbalan Presiden.

Umno pernah menggunakan formula Presiden dan Timbalan Presiden dipilih tanpa bertanding.

Dalam pada itu, Abdullah dijadual menyampaikan taklimat khas kepada kesemua 191 ketua UMNO bahagian parti selepas mesyuarat MT di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Ia bertujuan menjelaskan perkembangan dan senario politik tempatan dengan tumpuan menjurus kepada proses peralihan kuasa.

No comments

Powered by Blogger.