Sambutan pemerintahan ke-50 tahun Sultan Kedah meriah
ALOR STAR: Majlis sambutan Jubli Emas pemerintahan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah berlangsung dengan gilang gemilang dan penuh adat istiadat diraja yang dimulakan dengan perarakan sejauh kira-kira tiga kilometer melalui Lebuhraya Darulaman, di sini pagi tadi.
Majlis dimulakan dengan Sultan Abdul Halim dan Sultanah Kedah, Sultanah Haminah Hamidun diarak menaiki kenderaan khas, Bahtera Emas Lapis Suasa bermula dari Wisma Darulaman dengan diiringi pasukan pancaragam, unit berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tiga gajah yang didatangkan khas dari Kelantan.
Sebaik tiba di Medan Bandar di depan Masjid Zahir, baginda berdua disambut Menteri Besar, Azizan Abdul Razak dan isteri, Fakiah Syeikh Hamzah serta kerabat diraja.
Baginda kemudian berkenan memeriksa perbarisan kehormat pasukan keselamatan sebelum berangkat masuk ke Balai Penghadapan untuk pengisytiharan bermulanya sambutan Jubli Emas yang diumumkan oleh Menteri Besar.
Sementara itu, kira-kira 60,000 rakyat negeri ini, termasuk kira-kira 10,000 pelajar sekolah yang berbaris di sepanjang laluan perarakan tidak berganjak untuk melihat dengan lebih dekat wajah Sultan dan Sultanah kesayangan mereka walaupun hujan turun renyai-renyai.
Pada petang ini pula, baginda berkenan melancarkan setem peringatan Jubli Emas bertempat di Istana Anak Bukit.
Sultan Abdul Halim yang diputerakan pada 28 November 1927 dan mewarisi takhta kesultanan paling tua di dunia iaitu sejak 1136 dan menaiki takhta pada 15 Julai 1958 selepas kemangkatan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Badlishah Sultan Abdul Hamid.
Baginda ditabal sebagai Sultan Kedah ke-28 pada 20 Februari 1959.
Baginda adalah sultan yang kedua di negara ini yang meraikan Jubli Emas pemerintahan sejak merdeka, selepas Raja Perlis, Almarhum Tuanku Syed Putra Jalamullail yang mencecah tempoh bersejarah itu pada 1995.
1 comment
daulat tuanku!!!!
Post a Comment