Speaker tegur Adun DAP guna 'kamu'

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Datuk Keramat Jagdeep Singh Deo hari ini ditegur beberapa kali oleh Speaker Abdul Halim Hussain kerana membahasakan Adun pembangkang sebagai "kamu" ketika berbahas di sidang Dewan Undangan Negeri.

Jagdeep Singh Deo 240708Jagdeep dari DAP diingatkan oleh Abdul Halim dan beberapa Adun Barisan Nasional (BN) supaya menggunakan perkataan "Yang Berhormat" dan bukan "kamu" apabila seringkali tersasul menggunakan perkataan itu.

Beliau terbawa-bawa gaya berhujah di mahkamah berikutan beliau sendiri merupakan seorang peguam ketika mengambil bahagian dalam perbahasan usul terima kasih terhadap ucapan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas semasa merasmikan sidang Dewan Undangan Negeri Isnin lalu.

Menurut Bernama, Ketua Pembangkang Datuk Azhar Ibrahim (BN-Penaga) turut menegur Jagdeep yang menggunakan perkataan "kamu" ketika mengajukan soalan kepadanya.

"Yang Berhormat, kita tidak boleh guna perkataan kamu tapi Yang Berhormat," katanya dan dicelah oleh Datuk Mahmud Zakaria (BN-Sungai Acheh) yang berkata di bawah konsep pemerintahan Pakatan Rakyat, gelaran tuan diberikan kepada wakil rakyat.

Jagdeep memulakan perbahasan dengan membidas pembangkang yang didakwanya sering membangkitkan isu perkauman.

Menurutnya politik perkauman sudah tidak sesuai lagi diperjuangkan jika mahu melihat bangsa Malaysia terus maju dan berjaya pada masa akan datang dan meminta BN menghentikan politik sedemikian.

Bagaimanapun, kenyataan itu disanggah Azhar dengan mengatakan bahawa BN sebenarnya membawa asiprasi bangsa Malaysia dan mewakili masyarakat berbilang kaum termasuk suku etnik di Sabah dan Sarawak.

"Setahu saya, BN merupakan satu parti yang membawa wadah bangsa Malaysia dan perjuangannya tidak terhad kepada Melayu, Cina atau India sahaja. Kami mempunyai semua kaum dalam BN," katanya.

Sementara itu Sim Tze Tzin (PKR-Pantai Jerejak) mendapat pujian Speaker kerana perbahasannya mempunyai banyak cadangan yang bernas dan langsung tidak menyentuh mengenai politik mana-mana pihak.

"Ucapan beliau benar-benar membawa hasrat rakyat," katanya selepas Sim selesai menyampaikan perbahasannya.

No comments

Powered by Blogger.