Anwar enggan sebut tarikh tubuh kerajaan

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kini tidak mahu lagi mengulas mengenai tarikh baru yang ditetapkan bagi Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan negara daripada Barisan Nasional (BN).

Ketika ditanya pemberita, beliau berkata: "Saya tidak akan sebut (tarikhnya). Pada ketika yang sesuai...kita akan menyaksikan perubahan".

"Kalau rakyat mahukan perubahan... tidak ada kuasa yang boleh menghalang dan menahan," katanya semasa ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri beliau di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baharu di sini.

Di Kota Baharu Jumaat lepas, Anwar yang juga anggota Parlimen Permatang Pauh berkata kerajaan baru akan ditubuhkan sebelum Hari Raya Aidiladha Disember ini, selepas gagal menubuhkan kerajaan pusat pada 16 Sept lalu.

Antara yang hadir pada majlis hari ini ialah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, penasihat DAP Lim Kit Siang dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim. BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.