buang bayi....binatang manusia

KUALA TERENGGANU: Seorang kerani wanita ditahan reman seminggu mulai hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan mayat seorang bayi lelaki di Masjid Tengku Tengah Zaharah, di sini, Sabtu lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Mohammad Khalib Ab Karim membenarkan permohonan polis untuk mereman wanita berusia 21 tahun itu mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Wanita yang bekerja di sebuah pejabat di Jalan Sultan Sulaiman di sini itu disiasat mengikut Seksyen 309B Kanun Keseksaan kerana disyaki membunuh bayi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri berkata, kerani berkenaan ditahan di pejabatnya pada kira-kira jam 2.15 petang semalam.

Beliau berkata hasil soal siasat yang dijalankan, wanita itu mengaku melahirkan bayi berkenaan di dalam tandas rumah sewanya di Jalan Tekukur di sini antara jam 3 dan 4 pagi, pada hari kejadian.

Mayat bayi malang itu ditemui sekumpulan mahasiswi sebuah universiti di Selangor yang singgah di masjid itu untuk menunaikan solat Subuh kira-kira jam 5.30 pagi sebelum melaporkan perkara itu kepada polis.

Hasil bedah siasat mendapati tiada kecederaan dalaman serta fizikal dan bayi itu dipercayai mati dalam tempoh 12 hingga 24 jam sebelum ditemui akibat lemas atau kesejukan. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.