PARTI MANA YANG HURU HARA KATA PM~MALAYSIAKINI

KUALA LUMPUR 19 Okt. - Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan semua pihak di negara ini bahawa kini bukan masanya mencetuskan suasana huru-hara politik atau melakukan sesuatu yang boleh memporakperandakan masyarakat.

"Sekarang adalah masa kita perlu bekerjasama. Kita kena memahami satu sama lain," katanya dalam program televisyen World Business yang disiarkan oleh CNBC malam tadi apabila ditanya tentang langkah yang perlu diambil dalam menghadapi keadaan ekonomi global yang tidak menentu sekarang dan proses peralihan kuasa di negara ini.

Menjawab soalan wartawan Eckart Sager dalam program itu berkaitan dakwaan yang berulang kali dibuat oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa jumlah Anggota Parlimen yang akan berpaling tadah kepada pihaknya adalah mencukupi bagi membolehkan beliau menggulingkan kerajaan dan barangkali, inilah masanya kerajaan dan pembangkang patut berhenti daripada berbalah, Abdullah berkata, setakat ini, apa yang dikatakan oleh Anwar itu merupakan pembohongan semata-mata.

Kata beliau: "Anwar memberitahu seluruh dunia bahawa beberapa Anggota Parlimen saya akan menyeberang untuk menyebelahinya dan dengan itu, kami akan jatuh dan beliau akan menubuhkan kerajaan baru.

"Tapi, dia tak berjaya pun dan apa yang beliau ucapkan selama ini hanya pembohongan semata-mata. Dan saya tidak faham kenapa beliau perlu terus berbuat begitu," kata Abdullah.

Perdana Menteri juga berkata, banyak perkara yang perlu dilakukan di negara ini apabila wujudnya peluang bagi pemimpin muda untuk tampil ke depan, selepas berlakunya peralihan kuasa.

"Peralihan kuasa yang saya janjikan ini adalah secara aman, amat demokratik dan sudah tentu akan menjamin kelangsungan apa jua yang telah saya lakukan setakat ini," kata Abdullah bagi merujuk kepada hasrat beliau untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO dan menyerahkan kuasa kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ditanya apakah yang mendorong beliau membuat keputusan untuk berundur pada Mac tahun depan, Abdullah berkata, beliau telah berkhidmat dengan kerajaan dalam pelbagai kedudukan sejak 45 tahun lepas dan setelah hampir berusia 70 tahun sekarang, beliau berpendapat tibalah masanya beliau memberi laluan kepada pemimpin lebih muda dalam UMNO.

"Kami perlu pastikan parti terus relevan dan parti ini pula mestilah membuat perancangan untuk masa depannya. Saya tinggalkan untuk mereka beberapa strategi dan misi nasional yang saya yakin, mampu memacu pertumbuhan pembangunan dan menjadi landasan bagi pertumbuhan yang berkekalan pada masa akan datang," katanya.

Ditanya tentang agenda perubahan yang ingin beliau laksanakan dan apakah yang mungkin beliau lakukan dalam tempoh lima bulan akan datang, Abdullah berkata: "Saya mahu buat perubahan; rakyat sukakan idea tentang perubahan ini.

"Saya bukan sekadar memberi respons kepada mereka kerana mereka memerlukan perubahan," kata Abdullah.

Perdana Menteri berkata, beliau sendiri berpendapat badan kehakiman, pasukan polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) memerlukan perubahan.

"Saya tidak dapat melakukannya dalam tempoh empat tahun pertama (semasa berkuasa); saya dapat melakukannya hanya selepas kami kembali diberi kuasa selepas pilihan raya lepas. Oleh itu, saya ingin wujudkan perubahan ini dan saya boleh melakukannya. Walaupun dalam masa lima bulan," katanya.

Abdullah berkata, beliau juga telah mengadakan dasar-dasar ke arah meningkatkan keselamatan sosial, yang akan beliau lancarkan tidak lama lagi.

"Ini bagi menjamin wujudnya pengagihan pendapatan secara sama rata dan kami ingin pastikan kami mempunyai rancangan baru untuk golongan miskin, untuk golongan berpendapatan rendah," katanya.

Ditanya adakah ini masa yang sesuai untuk beliau berundur sedangkan ketika ini krisis kewangan global sedang mencengkam beberapa negara dan bagaimanakah kedudukan Malaysia sekarang, Abdullah berkata, kedudukan Malaysia adalah kukuh kerana negara ini telah mempelbagaikan pasarannya agar tidak perlu terlalu bergantung pada pasaran Amerika.

"Kami telah wujudkan pasaran lain yang menguntungkan kami. Kami juga telah mengambil langkah lain bagi memantapkan ekonomi kami. Oleh itu, mengenai ekonomi, saya ingin nyatakan bahawa ia mempunyai asas yang amat kukuh dan mempunyai daya tahan yang tinggi. Jadi, tidak ada bezanya sama ada saya berundur sekarang dan memberi peluang kepada generasi baru untuk mengambil alih," kata beliau.

Ditanya apakah cabaran dan tanggungjawab yang akan dipikul oleh Najib, pemimpin yang diharapkan akan menggantikan beliau, Abdullah berkata, perkara yang akan dihadapi oleh penggantinya itu adalah yang mempunyai kaitan dengan ekonomi dan perpaduan nasional, terutama isu berkaitan bangsa dan agama.

"Kami perlu pastikan rakyat Malaysia sentiasa bersatu padu," katanya.

Dalam wawancara itu, Abdullah juga berkata, kerajaan memberi tumpuan terhadap pembangunan modal insan, yang beliau sifatkan sebagai aset penting negara ini.

"Untuk menghadapi masa akan datang, kami perlu mempunyai rakyat Malaysia yang mendapat pendidikan secukupnya serta memiliki mentaliti kelas pertama dan pada waktu yang sama, mempunyai keazaman yang tinggi serta keyakinan dalam menghadapi masa depan dan mampu memimpin kerajaan serta sektor swasta," katanya sambil menambah bahawa dasar mesra perniagaan yang menjadi amalan kerajaan selama ini, akan diteruskan selepas pengunduran beliau.

- Bernama

No comments

Powered by Blogger.