Perarakan Tokong Sayur, sekolah mohon maaf

KANGAR, 15 Okt (Hrkh) - Susulan memorandum bantahan yang dikemukakan oleh Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPPs) berkaitan penglibatan lapan orang pelajar Muslim Sekolah Menengah Kebangsaan Perlis (SMKPs) dalam perarakan Tokong Sayur, pihak sekolah berkenaan telah memohon maaf secara rasmi.


Pengetua SMKPs, Chuah Cheng Hooi telah menghantar surat permohonan maaf atas insiden yang berlaku kepada DPPPs dan salinan kepada Tuanku Raja Muda Perlis selalu Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Menteri Besar Perlis dan Pengarah Jabatan Pelajaran Perlis.

Dalam suratnya, Chuah secara terbuka memohon maaf kepada DPPPs dan seluruh umat Islam khususnya di negeri Perlis atas kesilapan yang berlaku melibatkan pelajar berkenaan dalam perarakan pancaragam sekolah yang diadakan pada 7 Oktober 2008.

Katanya, beliau tidak mengetahui dan memahami perkara tersebut bertentangan dengan akidah umat Islam.

Pada pandangannya, beliau menganggap ianya hanya upacara biasa yang diiringi dengan muzik dari pancaragam sekolah dan pihaknya tidak pernah terniat untuk mencemarkan akidah dan kesucian Islam.

Selain itu katanya, pihak sekolah bertanggungjawab sepenuhnya atas kesilapan mereka yang tidak memohon kebenaran daripada Jabatan Pelajaran Perlis atas penglibatan pasukan pancaragam mereka dalam upacara tersebut.

Justeru pihak SMKPs berjanji perkara sedemikian tidak akan berulang lagi pada masa hadapan.

Jumaat lalu, DPPPs mengemukakan memorandum bantahan ke atas insiden yang berlaku kepada Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Perlis, Pengetua SMKPs, Exco Agama Islam, Jawatankuasa Hadhari dan Pembangunan As-Sunnah Negeri Perlis dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis.

Selain itu, Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin juga telah mengeluarkan surat bantahan kepada Pengarah Jabatan Pelajaran Perlis berkaitan perkara yang sama

No comments

Powered by Blogger.