Audit: Kos PKFZ boleh mencecah RM12 bilion

Laporan audit Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) menunjukkan bahawa  kos projek tersebut  boleh melonjak kepada RM12 bilion berbanding RM1.96 bilion ketika ia dilancarkan pada 2001.

Menurut laporan tersebut - yang disediakan oleh PriceWaterhouse Coopers (PwC) yang diumumkan hari ini - jumlah tersebut meliputi kos faedah pinjaman.

Kesimpulan utama laporan audit tersebut menyatakan bahawa kos projek yang tinggi, kelemahan urustadbir dan kelemahan pengurusan projek, telah menjejaskan kejayaan PKFZ.

Oleh itu, laporan itu menegaskan adalah amat penting bagi PKA mengambil tindakan segera bagi menstrukturkan semula pinjaman mudah dari Kementerian Kewangan sebanyak RM4.632 bilion untuk mengelak kegagalan pembayarannya pada 2012.

Kerajaan Malaysia juga, tambah laporan tersebut, perlu mengambil tindakan bersepadu untuk memperbaiki semula kedudukan PKFZ supaya menjadi satu pelaburan yang berjaya.

Kabinet meluluskan projek PKFZ pada bulan Mac 1999. Ia mengikut model Zon Bebas Jebel Ali di Dubai.

Bagaimanapun, kos pelaksanaannya telah meningkat dari RM1.957 bilion pada 2001/2002 kepada RM3.522 bilion pada 2008, tidak termasuk kos faedah.

Jika mengambilkira kos faedah, jumlahnya boleh mencecah RM7.453 bilion

Menurut laporan itu lagi, PKA telah menandatangani beberapa perjanjian dengan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) untuk membeli tanah dan memaju projek itu secara turnkey.

Kos anggaran asalnya untuk membeli tanah dan kerja-kerja memajukannya pada 2001 adalah sebanyak RM1.957 bilion.

Bagaimanapun, kos berbelanjaan projek itu telah meningkatkan kepada RM3.522 bilion pada 31 Disember 2008.

Manakala kos faedah daripada bayaran tertangguh kepada KDSB berjumlah RM1.425 bilion, dan ini menjadikan jumlah perbelanjaan keseluruhan projek tersebut ialah RM4.947 bilion.

Laporan itu menyebut, PKA tidak mampu membiayai obligasinya kepada KDSB dari sumber kewangannya sendiri pada jadual pertama pembayaran pada tahun 2007.

Berikutan itu, PKA mendapatkan pinjaman mudah RM4.632 bilion dari Kementerian Kewangan (MOF). Pinjaman tersebut menyebabkan kos faedah tambahan RM2.506 bilion, dan menjadikan kos keseluruhan PKFZ mencecah RM7.453 bilion.

Menurut laporan itu lagi, PKA mesti menstrukturkan semula pinjaman mudah dari MOF itu bagi mengelak kemungkinan kegagalan pembayaran pada 2012.

Katanya, unjuran aliran tunai yang disediakan oleh pengurusan PKA menunjukkan bahawa lembaga itu akan mengalami defisit terkumpul tunai antara tahun 2012 dan 2041, selepas membayar dua bayaran ansuran kepada MOF.

Sekiranya PKA gagal untuk menjelaskan bayaran ansuran pinjaman MOF mengikut jadual, dan pembayaran ansuran itu ditangguhkan untuk dipadankan dengan unjuran aliran tunainya, maka menurut laporan tersebut, lembaga itu akan menanggung kos faedah tambahan kira-kira RM5 bilion.

Keadaan itu, tambahnya, akan melonjakkanlagi perbelanjaan projek tersebut kepada RM12.453 bilion.

Laporan penuh PwC

No comments

Powered by Blogger.