Bangunan Jaya Supermarket runtuh, 8 terperangkap

RUNTUH...Pemandangan dari udara tapak bangunan lama Jaya Supermarket yang runtuh petang tadi.


PETALING JAYA: Sebahagian bangunan yang pernah menempatkan pasar raya, Jaya Supermarket, di Seksyen 14/20 di sini runtuh petang ini menyebabkan lapan orang terperangkap.

Bangunan yang dalam perancangan untuk dirobohkan itu runtuh pada 5.02 petang, demikian menurut Jabatan Pertahanan Awam (JPA3).

Sehingga kini, tidak diketahui sama ada mereka yang terperangkap itu adalah pekerja kontrak projek merobohkan itu bangunan atau orang awam.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata beliau dimaklumkan dua mangsa telah dikeluarkan dari tempat kejadian dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan manakala enam lagi dikhuatiri masih terperangkap.
Pasukan Bomba dan Penyelamat sedang giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Beliau berkata bomba menerima panggilan pada pukul 5.08 petang dan tiba di tempat kejadian tiga minit kemudian.

Pegawai Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) Lt Shahrul Kama Mohd Johari ketika usaha mencari dan menyelamat sedang digiatkan untuk mengesan enam lagi mangsa yang masih terperangkap itu.

Seorang saksi, Syed Mohammad Aidid Syed Ahmad Aidid, berkata beliau mendengar satu dentuman kuat seperti guruh ketika kejadian itu berlaku.

"Bangunan itu betulbetul di sebelah kiri saya. Saya nampak habuk. Batubatu jatuh di atas kereta saya macam hujan batu," katanya kepada Bernama.

Syed Mohammad Aidid, 41, berkata beliau baru meninggalkan bangunan Digital Mall yang terletak bersebelahan bangunan yang runtuh itu untuk ke pejabatnya di Phileo Damansara.

"Di hadapan saya ketika itu terdapat sebuah kereta Proton dan seorang perempuan sedang melalui kawasan itu. Namun semua mereka sempat menyelamatkan diri. Saya pula terus pecut, bagaimanapun kereta saya di bahagian kiri dan atas kemek.

"Waktu itu saya rasa amat takut dan sempat berdoa agar tidak ditimpa sebarang kejadian buruk," katanya. BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.