Negara Hadapi Perubahan Sosial Akibat Pengaruh Siber?

KEMAMAN, 2 Mei (Bernama) -- Negara kini sedang menghadapi arus perubahan sosial yang amat ketara akibat impak daripada globalisasi dan pengaruh siber yang tiada sekatan, kata Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said.

Beliau berkata golongan remaja sering dianggap penentang dan tidak memihak kepada tindakan kerajaan kerana pembabitan golongan itu dalam jenayah harta benda, samun bersenjata dan penyalahgunaan dadah yang telah mencetuskan kebimbangan.

"Cabaran bentuk moden yang melanda masyarakat kini memberi kesan buruk terhadap keperibadian dan kerohanian remaja hingga kekuatan jati diri tergugat," katanya pada ucapan melancarkan Program Rakan Muda Sekolah peringkat Terengganu di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politiknya, Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Ahmad berkata isu itu merupakan satu cabaran kepada Kementerian Belia dan Sukan supaya memberi lebih penekanan terhadap pembangunan jati diri remaja pada setiap perancangan di samping menerapkan nilai kaunseling serta motivasi dalam program yang dijalankan.

Beliau berkata pendekatan Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran melalui Program Rakan Muda Sekolah, akan memberi keseimbangan program yang lebih tertumpu kepada kumpulan sasar sebenar.

Katanya melalui program itu akan membuka ruang kepada golongan belia dan remaja berumur 15 hingga 25 tahun untuk merancang dan melaksanakan program mereka sendiri dengan khidmat nasihat dan bantuan daripada pihak kementerian.

Beliau berkata peningkatan keanggotaan golongan belia dan remaja dari tahun ke tahun menyertai dan menikmati program Rakan Muda yang dirancang di seluruh negara menunjukkan program itu mendapat sambutan.

"Perkembangan penyertaan yang menggalakkan ini diharap akan berterusan pada masa akan datang," katanya.

Pada majlis itu, sebanyak RM675,000 bantuan telah diberikan kepada 135 buah sekolah menengah seluruh Terengganu bagi program Rakan Muda Sekolah, dengan setiap sekolah masing-masing menerima RM5,000.

-- BERNAMA


bila najib nak p jalan2 kat area jalan p.ramlee? kahkahkahkah.......jom la..kahkahkahkah...tengok kat sana apa yang tak cukup! tengok anak2 muda melayu macam mana. jangan nak tunjuk cerdik hanya dok dalam pejabat sahaja! kahkahkahkah... bila TPM nak banteras masalah disiplin kat sekolah?

No comments

Powered by Blogger.