Abdullah dan anak-beranaknya juga wajib isytihar harta" Pemuda PAS

Oleh Salahuddin Ayub
Rabu, 02 April 2008
DEWAN Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) menyokong penuh cadangan Presiden Transparency International Malaysia (TIM), Tan Sri Ramon Navaratnam yang mencadangkan supaya bukan sahaja menteri dan timbalan menteri mengisytiharkan harta, tetapi seluruh ahli keluarga mereka.

DPP Pusat berpandangan cadangan TIM ini akan membantu meningkatkan integriti dan menghapuskan rasuah di negara ini, selain akan mewujudkan sebuah kerajaan yang telus dan bebas amalan kronisme dan nepotisme.

Arahan Kabinet pada 19 Mac lalu mahukan semua menteri dan timbalan menteri mengisytiharkan harta masing kepada rakyat.

Namun begitu, satu persoalan besar dalam kepala rakyat ialah ‘kecekapan’ para menteri dan timbalan menteri untuk membolot kekayaan negara melalui proksi atau kroni mereka.

Kita dapati jarang-jarang menteri yang berniaga dan kaya-raya melalui perniagaannya, tetapi kita akan menemui hamper semua menteri yang mempunyai anak menantu dan kroni yang kaya raya melalui perniagaan belakang tabir.

Kita pernah mendengar bagaimana menantu bekas Menteri MITI, Datuk Seri Rafidah Aziz mendapat saham yang besar di MITI ketika mertuanya mengetuai kementerian itu.

Begitu juga dengan beberapa orang yang rapat dengan beliau turut menguasai permit import (AP) kereta mewah ketika beliau masih di kementerian itu.

Ini belum diambil kira kroni dan kaum keluarga pemimpin BN yang lebih tinggi seperti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak.

Rakyat tertanya-tanya bagaimana dengan tiba-tiba Nazir Razak muncul dalam dunia perbankan dan menguasai bank yang asalnya milik kerajaan, BBMB yang kini dikenali sebagai CIMB.

Lebih mengejutkan lagi apabila Kamaluddin Abdullah dengan tiba-tiba menjadi antara 10 individu terkaya di Malaysia dan dalam masa yang sama Khairy Jamaluddin menguasai saham di ECM-Libra.

Rakyat negara ini juga dikejutkan oleh kemunculan tokoh korporat baru, Patrick Lim ‘Badawi’ yang merupakan bapa saudara kepada menantu Perdana Menteri itu dengan menguasai projek-projek raksasa di Pulau Pinang dan Terengganu.

Ini belum termasuk pengagihan projek-projek kerajaan kepada syarikat Brahim dan Dwwina Food milik Ibrahim Ahmad Badawi.

Kerana itu, DPP Pusat mendesak Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, semua menteri dan timbalan menteri supaya mengisytiharkan harta masing-masing diikuti oleh seluruh kaum keluarga dan kroni terdekatnya.

Bagi Perdana Menteri, beliau hendaklah mengisytiharkan harta yang dipungut oleh anaknya, menantunya, adiknya dan juga Patrick Badawi selepas 31 Oktober 2003 untuk memastikan ketelusan benar-benar wujud di negara ini.

Harta negara adalah milik rakyat bukannya untuk diagih-agihkan kepada anak menantu dan kroni pemimpin BN.

Penulis merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat - Pengarang

No comments

Powered by Blogger.