DEB: Lim Guan Eng turut dipanggil polis

Oleh Bernama
Rabu, 02 April 2008
PP: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak akan terkecuali daripada dipanggil memberi keterangan berhubung siasatan mengenai kenyataannya berkaitan sistem tender terbuka yang akan mengantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB), kata Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Salleh Mat Rasid.

Beliau berkata perkara itu adalah prosedur biasa yang dilakukan oleh polis semasa menjalankan siasatan.

"Sesiapa sahaja boleh dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan, termasuk juga Ketua Menteri (Lim Guan Eng). Itu perkara biasa dalam menjalankan siasatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program derma darah sempena sambutan Hari Polis ke-201 di Pengkalan Marin Wilayah Utara, Batu Uban di sini hari Selasa.

Siasatan itu diadakan berikutan laporan polis yang dibuat seorang peguam Abu Backer Sidek Mohamad Zain pada 14 Mac lepas yang meminta pihak berkuasa menyiasat Lim yang beliau dakwa telah mengeluarkan kenyataan cukup sensitif kepada orang Melayu.

Ditanya bila polis akan memanggil Lim untuk memberi keterangan, Salleh berkata ia bergantung kepada tahap dan proses siasatan kes itu.

Beliau berkata polis juga akan mengambil keterangan daripada wartawan yang menghadiri sidang akhbar Lim mengenai sistem terbuka yang bakal dilaksanakan kerajaan campuran DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mengantikan DEB sebaik dilantik sebagai Ketua Menteri baru-baru ini.

"Tidak ada apa yang perlu dibimbangkan, itu prosedur biasa. Bila ada laporan yang dibuat, kita akan siasat kes dan ambil keterangan untuk memastikan sama ada kes itu kukuh atau sebaliknya.

"Kalau ada keterangan yang kukuh, kita akan dakwa dan sebaliknya," kata Salleh.

Sementara itu, Salleh turut mengumumkan kenaikan pangkat Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Wan Abdullah Tunku Said yang akan menjawat jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri mengantikan Datuk Abu Samah Mat.

"Abu Samah yang turut dinaikkan pangkat akan bertugas sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur. Majlis penyerahan tugas akan berlangsung pada hari Jumaat ini di Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang," katanya.

No comments

Powered by Blogger.