Mesyuarat agung luar biasa perlu diadakan segera - Mahathir

Oleh Bernama
Rabu, 02 April 2008
KL: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata mesyuarat agung khas atau luar biasa (EGM) Umno, jika diadakan, perlu meminda perlembagaan Umno bagi memansuhkan peraturan undi bonus bagi pertandingan jawatan parti Disember depan.

Bekas Perdana Menteri itu berkata jika ada desakan ramai, Majlis Tertinggi (MT) Umno akan setuju mengadakan mesyuarat khas itu yang juga perlu mengkaji punca kekalahan besar Umno yang menerajui Barisan Nasional pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.

"Saya tertarik dengan cadangan Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah supaya Umno) mengadakan mesyuarat khas membincangkan kekalahan...tapi perlu juga bincang soal undi bonus," katanya pada forum "Umno Pasca Pilihan raya Umum ke-12" di sebuah hotel di sini hari ini.

Forum anjuran Mykmu.net turut dihadiri anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, anggota Exco Pemuda Umno dan anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Ketua Penerangan Umno Johor yang juga anggota Parlimen Batu Pahat Dr Puad Zarkashi.

Tengku Razaleigh yang merupakan Ketua Umno Bahagian Gua Musang baru-baru ini mencadangkan mesyuarat agung khas diadakan bagi membolehkan pimpinan Umno akar umbi memberi pendapat berhubung kekalahan BN di Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang serta kegagalan merampas Kelantan daripada PAS.

Dr Mahathir berkata beliau mengakui undi bonus diperkenalkan semasa beliau menerajui Umno dulu, tetapi menurutnya, pada masa itu anggota Umno bebas mencalonkan sesiapa untuk bertanding.

Sebaliknya, beliau berkata kini anggota Umno takut pada kepimpinan parti dan memberi contoh ketika Tengku Razaleigh mengumumkan hasrat bertanding jawatan presiden Umno pada pemilihan lepas, bahagian-bahagian yang berjanji akan mencalonkan beliau tidak berbuat demikian.

Beliau berkata dalam senario Umno hari ini, apa yang penting ialah bagi anggota Umno untuk bersuara secara berani memberitahu pendapat mereka mengenai apa yang salah mengenai parti dan kepimpinannya.

Dr Mahathir memberi amaran jika anggota Umno tidak berani mulai sekarang menyuarakan apa yang benar, maka Umno akan menghadapi jalan kehancuran kerana jika tunggu sampai pilihan raya akan datang, apa juga pendapat yang disuarakan adalah terlambat.

Malahan katanya, Umno akan menjadi tidak relevan, jika negeri-negeri yang sekarang ditadbir kerajaan campuran PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP menunjukkan prestasi baik hinga menyebabkan pelbagai kaum termasuk orang Melayu terus menyokong pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

Ketika sesi soal jawab, Dr Mahathir berkata peluang harus diberi kepada sesiapa yang tampil ke hadapan untuk bertanding jawatan presiden Umno.

"Walaupun dulu kata (Timbalan Presiden Datuk Seri) Najib (Tun Tazak) patut ganti...tapi tak tahu kenapa...(sekarang) saya tukar fikiran.

"Masa itu kita buat penilaian apakah Najibkah...Muhyiddinkah (Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin) ...sesiapa," kata Dr Mahathir.

Sambil menegaskan beliau tidak mahu menyokong pemimpin yang tidak baik bagi parti dan negara, Dr Mahathir berkata Umno boleh dipulihkan jika semua anggota berani menyuarakan pendapat.

Dr Mahathir berkata beliau tidak gentar disingkir daripada parti akibat kelantangannya menyuarakan pendapat, kerana beliau pernah mengalaminya sebelum ini.

Mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang ramai pihak menganggap telah memperkayakan segelintir pihak, Dr Mahathir berkata tidak ada apa yang salah dengan dasar itu, tetapi yang salah adalah pada pemimpin.

No comments

Powered by Blogger.