Fitna: Duta Belanda kesal

Oleh Hasnurul Mohamed



BANTAH... Ahli Pergerakan Pemuda UMNO tunjuk perasaan di hadapan kediaman rasmi Duta Belanda ke Malaysia membantah filem Fitna yang menghina Islam di Kuala Lumpur, semalam. – Gambar ZULAZHAR SHEBLEE.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 1 April – Duta Belanda di Malaysia, Lody Embrechts, secara peribadi melahirkan rasa kesal dengan penerbitan filem Fitna yang mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Rasa kesal berkenaan disampaikan kepada Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Pirdaus Ismail yang menyerahkan memorandum bantahan di kediaman rasmi duta berkenaan di Jalan Langgak Golf di sini hari ini.

‘‘Duta Belanda secara peribadi turut melahirkan rasa kesal di atas penerbitan Fitna. Beliau turut berjanji menyerahkan memorandum tersebut kepada Perdana Menteri Belanda, Jan Peter Balkenende secepat mungkin,’’ katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada Embrechts.

Memorandum bantahan berkenaan dibuat sebagai tanda protes terhadap filem Fitna yang diterbitkan oleh Ahli Majlis Perundangan Belanda, Geert Wilders.

Pirdaus bersama 30 ahli Pergerakan Pemuda UMNO berhimpun di hadapan kediaman rasmi Embrechts dalam keadaan hujan lebat, sebelum enam daripada mereka termasuk beliau sendiri dibenarkan masuk pukul 2 petang.

Perbincangan di antara Pirdaus dan Embrechts berlangsung selama 45 minit.

Pirdaus berkata, kerajaan Belanda perlu lebih banyak membuat kenyataan lebih berkesan terhadap apa yang berlaku.

‘‘Ini kerana kenyataan daripada Perdana Menteri Belanda seakan-akan mahu melepaskan diri daripada apa yang telah dilakukan oleh Wilders.

‘‘Mereka seolah-olah enggan bertanggungjawab. Jadi, jika kerajaan Belanda mahu menjalin hubungan yang lebih lama dengan umat Islam, mereka mesti mengambil satu sikap yang lebih bertanggungjawab,’’ tegasnya.

Dalam pada itu, Pemuda UMNO turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi mendesak negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) supaya mengambil tindakan tegas terhadap Barat yang sentiasa menghina umat Islam.

‘‘Malaysia sebagai bekas Pengerusi OIC layak membuat desakan berkenaan.

‘‘Barat sentiasa menghina umat Islam sedangkan umat Islam tidak pernah menghina agama lain,’’ katanya.

Fitna yang disiarkan di Internet pada 27 Mac lalu, mengkritik dan menghina agama Islam dengan menunjukkan surah al-Quran dan berlatarbelakangkan imej pengganas.

1 comment

Firdaus Abd Rahman said...

Akhirnya seorang warga saudi membuat filem yang membalas FITNA

maklumat lanjut :

http://abgfir.blogspot.com/2008/04/bible-version-of-fitna-video-schism.html

Powered by Blogger.