Tsu Koon nafi tanah dijual pada Khairy

ALOR STAR 2 April - Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menafikan khabar angin melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) bahawa beliau telah menjual tanah milik rakyat kepada Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin.

Kata beliau, SMS itu mula dikesan tersebar di Pulau Pinang, Kuala Lumpur sehingga ke Melaka sejak lima hari lalu dan ternyata ia tidak benar sama sekali.

Pemangku Presiden Gerakan itu berkata, beliau tidak pernah mengambil tanah milik rakyat untuk dijual kepada Khairy atau sesiapa pun demi mengaut keuntungan sendiri.

"Tanah yang didakwa dijual kepada Khairy di kawasan Padang Tembak adalah di bawah hak milik Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

"Apa yang saya tahu ketika di bawah pentadbiran saya, tanah itu masih di bawah pihak MPPP. Saya tidak tahu adakah statusnya berubah di bawah kerajaan baru ini," ujarnya kepada Utusan Malaysia di pejabat parti Gerakan dan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Derga, Dr. Cheah Soon Hai di sini hari ini.

Menurut Dr. Tsu Koon, dia mahu kerajaan baru Pulau Pinang di bawah Ketua Menteri, Lim Guan Eng menyiasat dakwaan tersebut kerana ia menjejaskan reputasi beliau.

"Jika seseorang mahu membeli tanah, banyak prosedur yang perlu diikuti dan tidak boleh dijual begitu sahaja kepada individu tertentu," katanya.

Beliau memberitahu, jika fitnah itu berterusan, beliau akan menimbangkan untuk melaporkannya kepada polis.

Dalam pada itu, beliau menasihati Guan Eng agar tidak terus mensensasikan kes-kes penyelewengan tanah di Pulau Pinang kerana kes itu sudah diketahui dan disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR).

"Kes-kes itu adalah kes lama dan pendedahan oleh DAP bukanlah perkara baru. Saya hairan kenapa mereka terus mengulanginya dalam setiap sidang akhbar mereka.

"Setiap kes ini mempunyai rekod dan mereka boleh merujuknya terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan," jelasnya.

No comments

Powered by Blogger.