'Orang itu terlalu kebal'


Oleh HELMI MOHD. FOAD

PUTRAJAYA 2 April - Tindakan disiplin ke atas ahli termasuk bekas pemimpin utama UMNO yang mengeluarkan kenyataan memburukkan kepimpinan parti agak sukar dilakukan kerana mereka sudah dianggap terlalu 'kebal'.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, tiada siapa berani mencadangkan bekas pemimpin UMNO itu dikenakan tindakan disiplin meskipun pada zaman bekas Perdana Menteri itu memimpin banyak ahli dan pemimpin dihukum termasuk disingkir daripada parti.

''Zaman pemimpin kita dulu tindakan dibuat, ramai orang yang kena, orang yang melanggar (disiplin parti) yang dianggap menentang parti dan sesiapa yang menyokong pembangkang.

''Tetapi oleh kerana orang itu kebal, kalau sesiapa cadang dia diambil tindakan, mana boleh kerana ini orang kebal," katanya.

Beliau mungkin merujuk 'orang kebal' itu sebagai bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Muhammad yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet kementeriannya di sini hari ini.

Beliau ditanya adakah UMNO akan mengambil tindakan disiplin ke atas ahli parti termasuk bekas pemimpinnya yang bertindak memburukkan kepimpinan parti termasuk secara terbuka meminta Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan.

Muhammad berkata, mereka yang boleh diambil tindakan disiplin hanya ahli parti di peringkat bawahan sebaliknya mereka yang 'kebal' tidak wajar dikenakan hukuman.

"Inilah keadilan politik yang ada sekarang," katanya sinis sambil menambah keadaan itu berbeza ketika zaman 70-an dan 80-an apabila terdapat ahli dan pemimpin UMNO disingkir dan dibuang parti.

Bagaimanapun sekarang, katanya, meskipun bekas pemimpin utama UMNO itu melakukan perbuatan yang sama iaitu secara jelas menyokong pembangkang, tiada siapa berani cadang beliau dikenakan tindakan disiplin.

"Yang menjadi mangsa ialah Pak Lah (Abdullah). Soal perubahan pemimpin ia dipilih dalam parti, biarlah proses parti berjalan macam biasa mengapa nak paksa beliau meletakkan jawatan," katanya.

Mengenai cadangan pemansuhan kuota pencalonan bagi pemilihan Presiden parti, Muhammad berkata, langkah itu diibaratkan seperti meminta pengadil mengubah peraturan ketika perlawanan bola sepak sedang berlangsung.

"Ini tidak adil kerana sebenarnya pemilihan sudah bermula. Kita tidak boleh meminta pengadil memberhentikan permainan untuk kita menukar peraturan seperti perlu besarkan pintu gol," katanya.

Katanya, selama 22 tahun sistem kuota dilaksanakan di bawah kepimpinan Dr. Mahathir dan sistem yang sama diteruskan oleh kepimpinan Abdullah.

''Saya fikir yang lebih sesuai, kita selesaikan dahulu pemilihan. Selepas itu pasukan baru boleh terima pembaharuan bahawa sistem kuota itu tidak adil.

''Zaman kita jadi pemimpin kita kena adil dan zaman orang lain memimpin juga kena adil. Jangan zaman kita buat cara begini, bila kita dah tak ada, mahu diubah kerana dikatakan tidak adil," katanya.

No comments

Powered by Blogger.