Adik cuba nasihat Sufiah

Iskandar Yusof minta kakak fikir semula kerjaya sebagai teman sosial

LONDON: Iskandar Yusof, adik wanita pintar matematik, Sufiah yang mengakui melacurkan diri di Manchester bagi menyara hidupnya, tampil dengan menasihati adiknya supaya memikirkan sedalam-dalamnya perbuatannya bagi meleraikan kemelut yang mengejutkan ramai pihak.

"Sufiah perlu memikirkan sendiri perkara ini jika dia mahukan perkara itu diselesaikan. Ada kalanya apabila berdepan masalah tertentu, kita tidak perlulah berkongsinya dengan orang lain.



"Sebaliknya, apa yang kita perlu buat adalah melihat ke dalam diri sendiri dan fikirkan insan yang bagaimana kita mahu jadi?" katanya dalam temu bual program Radio 4 Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) yang dipetik laman web akhbar The Telegraph, semalam.

Beliau mengulas pengakuan berani kedua Sufiah yang juga janda muda berusia 23 tahun disiarkan tabloid News of the World kelmarin yang tidak kesal dengan perbuatannya menjual tubuh. Malah Sufiah, tanpa segan silu mengakui kerjayanya sebagai pelacur itu memberinya kehidupan jauh lebih seronok dan glamor berbanding kejayaannya memasuki Universiti Oxford pada usia 13 tahun.

Sufiah juga mengakui dirinya 'wanita penuh berahi' yang suka membaca kisah hidup dan watak pelacur dalam drama televisyen serta mampu menerima bayaran sehingga £1,000 (RM7,000) bagi setiap sesi perkhidmatannya atau pendapatan tahunan kira-kira £60,000 (RM420,000), hasil melayan lima hingga 10 lelaki seminggu.

Iskandar, 21, yang juga anak pintar apabila berjaya menamatkan pengajian di Universiti Warwick pada usia 15 tahun, juga mengakui bapa mereka Farooq Yusof seorang yang panas baran.

Farooq kini menjalani hukuman penjara 18 bulan selepas didapati bersalah mencabul dua pelajar perempuan berusia 15 tahun ketika mengajar matematik di rumah mangsa. Ibu Sufiah, Halimaton kini dalam proses menuntut cerai dengan Farooq selepas berkongsi hidup lebih 30 tahun.

Iskandar mendakwa selain sikap panas baran Farooq, sikapnya yang enggan beralah atau mudah mengucapkan perkataan maaf di atas layanan kasarnya terhadap Sufiah, juga menjadi antara punca dua beranak itu sering bertelagah.

"Ibu saya semestinya tidak senang dengan pendedahan kerjaya pilihan Sufiah. Tetapi kami memang sudah lama tidak berhubungan dengan Sufiah dan ibu sekurang-kurangnya lega dapat mendengar berita mengenainya," kata Iskandar.

Malah, kata Iskander yang juga anak kedua daripada lima beradik, apa yang lebih penting bagi mereka sekeluarga sekarang selepas pendedahan kisah Sufiah, adalah supaya adiknya itu terus berhubungan dengan keluarga.

Sebelum mencetuskan kejutan berhubung kerjayanya sebagai pelacur seminggu lalu, Sufiah pernah menyebabkan pihak berkuasa Britain melancarkan gerakan mencarinya secara besar-besaran pada 2001 ketika berusia 15 tahun apabila dia melarikan diri dari Oxford selepas lulus peperiksaan di Kolej St Hilda.

Ketika itulah Sufiah mengirim e-mel yang menuduh bapanya menjadikan hidupnya 'seperti berada dalam neraka' dan menyebabkan tempoh 15 tahun kewujudannya dipenuhi penderaan fizikal dan emosi.

Farooq menafikan dia terlalu menekan Sufiah dan mendakwa apa yang dituturkan anaknya adalah skrip yang disediakan pihak yang mengawal anaknya.

Namun, Sufiah mendedahkan antara kaedah kejam diamalkan bapanya adalah meletakkan anaknya dalam bilik amat sejuk seharian suntuk untuk mengulangkaji pelajar atas alasan ia membantu meningkatkan daya ingatan mereka. - Agensi

No comments

Powered by Blogger.