Masih ramai yang memanggilkannya 'Pak Lah'


Oleh mayasi

"
Nama Abdullah Badawi sengaja digelar 'Pak Lah' oleh puak-puak UMNO, untuk menggambarkan kepada umum kononnya beliau adalah seorang PM yang 'mesra-rakyat' dan berjiwa rakyat. Nama itu dijaja di semerata tempat dan disebut-sebut sejak sekian lama apabila merujuk kepada PM Abdullah Ahmad Badawi. Akhirnya nama itu diguna-pakai oleh sebahagian besar rakyat Malaysia, maka tergambarlah kononnya PM Malaysia ini seorang pemimpin yang merendah diri, mudah mesra, tidak mementingkan darjat dan gelaran, dan sebagainya.



Saya teringat saranan Dato' Hasan Ali (ADUN PAS Gombak Setia) suatu waktu dahulu, supaya kalau boleh kita jangan terikut-ikut dengan puak-puak UMNO yang memanggilkan PM sedemikian rupa, kerana kita tidak sekali-kali mengiktiraf gelaran itu, kerana telah terbukti bahawasanya PM ini bukanlah seorang yang mesra-rakyat sepertimana yang cuba digambarkan oleh puak-puak UMNO ini.

Saya sangat bersetuju dengan saranan tersebut kerana sudah banyak menyaksikan bahawa kemesraan yang cuba ditunjukkan oleh PM ini adalah lakunan semata-mata dan tidak ikhlas sama sekali! Rafidah Aziz juga pernah menyeru ahli UMNO supaya jangan memanggil PM sebagai 'Pak Lah', cuma alasan Rafidah adalah kerana nama itu agak 'kekampungan' dan tidak sesuai langsung untuk digelarkan terhadap seorang PM.

Saya lebih senang memanggilkannya sebagai Dollah Badwi, dan tidak terliur langsung untuk menggelarnya 'Pak Lah'. Ada rakan saya menggelarnya 'Wak Dol', 'Sharif Dol' (samseng Kg Dusun), dan bermacam-macam gelaran lagi.

Begitu juga dengan panggilan 'manja' terhadap pemimpin UMNO yang lain, seperti KJ (merujuk kpd Khairy Jamaludin), JJ (merujuk kpd Jamaludin Jarjis), Kak Pidah (merujuk kpd Rafidah Aziz), Dato' Ali (merujuk kpd Ali Rustam) dan lain-lain lagi. Saya menyeru kepada semua penyokong dan pendokong Pakatan Rakyat - Hentikan ini semua! Ini mainan puak-puak UMNO! Kita tidak mengiktiraf sekelian nama-nama gelaran 'mesra' tersebut. Itu pemimpin mereka, biarlah mereka sahaja yang menjual nama-nama itu.

Kita juga ada pemimpin-pemimpin, yang mana puak-puak UMNO tidak pernah menyebut nama-nama pemimpin kita untuk menunjukkan kemesraan dan rasa hormat mereka, seperti mana yang biasa kita menyebutnya, contohnya Haji Abd. Hadi biasa disebut 'Tuan Guru' atau 'Ayah Chik' (bagi penduduk Marang), tetapi orang UMNO hanya menyebut 'Hadi Awang', Wan Azizah biasa disebut 'Kak Wan', tetapi puak UMNO hanya memanggilkannya sebagai 'bini Anwar', Mustafa Ali biasa disebut 'Cikgu Pa' tetapi puak UMNO sebut 'Stopa Ali', Mohamad Sabu biasa disebut 'abang Mat' tetapi orang UMNO menyebutnya 'Mat Sapu, dan lain-lain lagi.

Marilah kita budayakan menyebut nama pemimpin kita (Pakatan Rakyat)dengan panggilan yang disenangi dan lebih merapatkan kemesraan antara pemimpin dan rakyat biasa, seperti Zulkifli Noordin - Abang Zul, Haji Nik Aziz - Tok Guru, Lim Kit Siang - Kit Siang, Lim Guan Eng - Guan Eng, Dr Hatta, Dr Lo'Lo', Haji Mahfuz, Ustaz Azizan, Brother Anwar, Tian Chua, dan lain-lainnya.

"

No comments

Powered by Blogger.