Ahli PAS mengamuk isu muzakarah?

Tidak cukup dengan perbahasan di internet dan sesama sendiri pro dan kontra muzakarah PAS-Umno, sekumpulan ahli PAS merancang mengadakan demonstrasi membantah kerjasama dua parti itu, lusa.

Dalam sebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada ahli dan penyokong PAS mulai semalam, perhimpunan itu akan diadakan di depan ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut selepas solat Jumaat.

Demonstrasi itu dinyatakan sebagai menunjukkan "sokongan kepada mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan menentang kerjasama Umno-PAS."

Bagaimana usaha Malaysiakini sejak semalam belum berjaya menghubungi pihak yang bertanggungjawab menganjurkannya.

Beberapa sumber menyatakan, perhimpunan itu mahu dilihat sebagai "usaha spontan ahli-ahli akar umbi" menyatakan sikap terhadap usaha dialog yang diketuai oleh timbalan presiden Nasharuddin Mat Isa dengan restu dan dukungan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Selepas sidang media menyatakan pendirian rasmi Dewan Pemuda PAS, ketuanya Salahuddin Ayub menyifatkan sebaran SMS itu "khabar angin" dan maklumat itu "tidak betul."

Sementara itu Majlis Syura Ulama PAS dilaporkan bermesyuarat di Kota Bharu hari ini - isu utamanya berhubung pendirian dan sikap parti terhadap usaha PAS merapati Umno, termasuk rundingan tentang kerajaan campuran dan pengagihan jawatan selepas pilihanraya umum 8 Mac.

Nik Abdul Aziz dijangka akan mempengerusikan mesyuarat majlis itu yang dijadual diadakan petang ini di JKR 10, kediaman rasmi menteri besar Kelantan.

Selain disertai timbalan mursyidul am Datuk Dr Harun Din dan anggota -anggota majlis syura lain, termasuk Abdul Hadi Awang.

Nik Abdul Aziz, yang juga menteri besar Kelantan, baru-baru ini dilaporkan menggesa muzakarah dengan Umno dihentikan kerana ia akan memecah-belahkan PAS.

Beliau dilaporkan berkata PAS dibimbangi akan menjadi seperti kera sumbang, manakala di kiri kanan pula kena marah sekiranya meneruskan muzakarah dengan pemimpin Umno.

Kelmarian, Nik Abdul Aziz berkata, "apabila berlaku muzakarah penyokong kita marah kepada PAS dan orang Pakatan Rakyat juga curiga."

Oleh itu bagi mengelakkan kekecewaan penyokong, muzakarah antara PAS dan Umno dianggap tidak perlu bagi mengelak berulang sejarah hitam yang pernah berlaku sebelum ini.

"PAS akan lebih berhati-hati agar tidak terkena perangkap Umno kali kedua.

"Itu bukan cara parti yang memperjuangkan Islam berpolitik di mana cara berkenaan tidak ubah seperti menolong pihak lawan dan bukannya untuk menjaga kestabilan parti.

"Itu perangkap namanya," katanya, lapor Harakahdaily.net.

No comments

Powered by Blogger.