SURAT UNTUK MB GANU..


Rasa terpanggil untuk memberi komen tentang isu ini,kerana tak tertahan lagi sebak di dada mengenangkan perilaku pemimpin yang telah diberi amanah untuk membela nasib rakyat bertindak sebegini di saat rakyat bergelut dengan sara hidup yang tinggi disebabkan kenaikan harga minyak baru-baru ini. Mengapa MB Terengganu dan exco-exco bertindak sedemikian,seolah-olah tidak tahu mana yang perlu didahulu dan diutamakan, adakah nasib rakyat atau kepuasan hati sendiri?

Sepatutnya MB bertindak menaik taraf jalan raya dari Kg.Mak Lagam ke Bandar Ceneh Bahru dulu, di mana jalannya begitu teruk berlubang dan beralun. Masalah ini tidak selesai dari dulu-dulu lagi. Tindakan yang diambil adalah seperti melepas batuk di tangga, hari ini ditampal,esok kembali rosak.

Mengapa tidak dibuat kerja pembaikian yang sempurna seperti dibuang tar lama dan diturap yang baru? Siapakah yang menggunakan jalan ini? Adakah exco atau MB sendiri? Mereka yang selalu menggunakannya adalah pakcik makcik yang duduk di felda dan kampung-kampung yang menggunakannya sebagai jalan pintas.Di kawasan ini juga terletak dua buah sekolah dan satu pusat kemahiran yang baru siap dibina. Kasihanilah kepada guru-guru dan kakitangan yang lain yang sering berulang-alik setiap hari melalui jalan ini, terpaksa mengelak jalan beralun,berlubang. Bayangkan berapa kali tayar kereta perlu di alignment dan membetulkan kembali rim tayar yang bengkok disebabkan terjatuh lubang? Sepatutnya MB dan exco-exco berkaitan bertindak pantas terhadap masalah seperti ini.

Lagipun, isteri MB merupakan bekas Naib Yang Dipertua PIBG SMK Mak Lagam, mesti sudah mengalami dan mengakui betapa peritnya melalui jalan ini. Tak tahulah bila sudah berada di kedudukan sekarang ini, Toh Puan sudah melupakan sejarah keperitan melalui jalan ini.Saya merasa terpanggil untuk menjemput MB dan exco-exco berkenaan melawat dan melihat sendiri keadaan jalan ini, tapi kalau datang dengan menaiki Mercedes baru mungkin tak terasa goncangan dan ayunannya, datanglah menaiki kereta proton,baru dapat rasa apa yang dirasai oleh rakyat bawahan.


Adakah semestinya bila bergelar exco mesti diberi kemudahan-kemudahan yang melampau seperti ini? Tidak boleh bekerjakah exco-exco bila menaiki kereta proton saga atau Toyota Vios,Altis,Honda Civic dan seumpamanya? Kalau rakyat biasa boleh bergerak ke sana ke mari dengan kancil atau proton saga, mengapa exco-exco yang dilantik tidak boleh? Bukankah rakyat telah memilih anda supaya dapat berkhidmat dengan baik kepada mereka,bukannya dipilih untuk menikmati kemudahan yang melampau. Inilah silapnya istilah YANG BERHORMAT yang kita berikan kepada orang yang dipilih untuk memimpin kita, sepatutnya kita memanggil YANG BERKHIDMAT.Bila gelaran ini dipanggil,maka tidaklah mereka merasa besar dan patut disanjung lebih-lebih. Yang penting,mereka benar-benar membela nasib rakyat bawahan.Satu persoalan, adakah YB yang dipilih oleh rakyat benar-benar menyuarakan kehendak rakyat dan memperjuangkan nasib rakyat? Tepuk dada tanya hati.

No comments

Powered by Blogger.