Anwar bermalam dalam tahanan polis

Sepuluh kenderaan polis, termasuk yang membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim, keluar dari bangunan ibu pejabat polis kontinjen Kuala Lumpur menuju ke hospital Kuala Lumpur.

Konvoi kenderaan dengan kawalan ketat itu keluar dari jam 8.35 malam dan sampai kira-kira 8.45 malam.

Anwar dimasukkan ke wad diraja dengan kawalan kira-kira 40 anggota polis untuk rawatan biasa.

Naib presiden PKR Mohamad Azmin Ali masuk ke wad itu jam 10 malam.

Sebelum itu, Mohamad Azmin bersama ketua perhubungan Pulau Pinang Datuk Zaharin Mohd Hashim bertemu perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di bangunan Parlimen.

Pertemuan bermula jam 9 malam, yang melibatkan menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berlangsung kira-kira 45 minit.

Mohamad Azmin berkata Abdullah memberi jaminan "tiada kejadian mata lebam" seperti 1998.

Anwar kelihatan keluar jam 10.20 malam dengan konvoi lima kenderaan polis menuju IPK.

Beliau tiba kira-kira 10.35 malam dan sempat melambai kepada kumpulan penyokongnya di pinggir Jalan Hang Tuah yang menunggu sejak siang.

Mohamad Azmin, bersama seorang lagi naib presiden PKR Sivarasa Rasiah dan ahli parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff masuk ke bangunan IPK.

Menurut ketua penerangan parti itu Tian Chua, Anwar akan ditahan malam ini tetapi tidak mengesahkan tempatnya.

Kira-kira 50 penyokongnya yang berkumpul di hospital melaungkan slogan reformasi dengan disambut lambaian tangan Anwar.

Lebih 30 wartawan dan jurugambar berada di luar wad itu yang dipisahkan oleh garisan polis.

Anwar sebelum ini memberi keterangan kepada polis enam jam mulai 2.30 petang selepas dibawa ke IPK jam 1.11 petang tadi.

Beliau ditangkap sewaktu hampir tiba di kediamannya di Segambut Dalam, Kuala Lumpur tengah hari tadi selepas memberikan keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya berhubung isu dakwaan pemalsuan laporan ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan dan peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Sementara 500 penyokong penasihat PKR masih lagi berkumpul di pinggir Jalan Hang Tuah.

Mereka diketuai ahli parlimen Batu dan juga ketua penerangan parti Tian Chua - kemudian meninggalkan selepas jam 9.

Mereka menyalakan lilin dan melaungkan slogan "reformasi."

Manakala sekumpulan 50 anggota polis, termasuk berpakaian biasa, berada di seberang jalan - sebelah bangunan IPK.

Malaysiakini difahamkan satu mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Tertinggi PKR akan diadakan di ibu pejabat parti di Tropicana, Petaling Jaya.

Taklimat tentang perkembangan penahanan Anwar dipercayai akan disampaikan oleh timbalan presiden Dr Syed Husin Ali.

No comments

Powered by Blogger.