Dakwaan liwat: Anwar ditahan polis, direman 24 jam


Datuk Seri Anwar Ibrahim dikerumuni media sejurus selepas memberi keterangan di Badan Pencegah Rasuah, Putrajaya Beliau ditahan polis di rumahnya kemudian, kira-kira sejam sebelum hadir di IPK Kuala Lumpur.. - foto REUTERS

(Mutakhir) KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikeluarkan waran tangkap kerana tidak hadir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur petang kelmarin berhubung dakwaan meliwat pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan (gambar), ditahan polis tengah hari ini untuk membantu siasatan.

Peguam Anwar, Sankara Nair memberitahu pemberita di pekarangan IPK Kuala Lumpur, bekas Timbalan Perdana Menteri itu ditangkap oleh sepasukan polis di kawasan berhampiran dengan rumahnya.

Anwar mula memberikan kenyataan kepada polis mulai pukul 2.30 petang - kira-kira 70 minit selepas dibawa ke IPK Kuala Lumpur.

"Beberapa minit sebelum ditangkap, DSP Jude Pereira saya menelefon saya dan mengesahkan tentang kedatangan mereka. Mereka kata hendak datang, tetapi (Anwar) ditahan di kawasan selekoh di Jalan Segambut (berhampiran rumahnya)," katanya.

Semalam polis telah mengeluarkan waran tangkap dan mengkaterogikan Anwar sebagai suspek dalam tuduhan Mohd Saiful bahawa majikannya itu telah meliwatnya beberapa kali termasuk pada 26 Jun lalu.

Dia membuat laporan polis dua hari kemudian.

Ini kali kedua Anwar berhadapan dengan dakwaan seumpama itu selepas kali pertama pada 1998 dan September tahun itu juga beliau ditahan polis di rumahnya.

Polis mengatakan bahawa anda (Anwar) ditahan di bawah Seksyen 377 Kanun Keseksaan, Anwar akan direman 24 jam," kata beliau dan menambah, jika perlu mendapatkan perintah tahanan reman daripada mahkamah jika mahu menahan lebih lama daripada 24 jam.

Bagaimanapun, kata Sankara. Anwar tidak digari.

Anwar dibawa ke IPK Kuala Lumpur kira-kira pukul 1.15 tengah hari.

Beliau ditahan di rumahnya di Segambut dekat sini selepas pulang dari memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya berhubung laporannya yang dibuat terhadap Peguam Negara dan Ketua Polis Negara.

Anwar keluar dari pejabat BPR pukul 12.10 tengah hari.

Ketika ditemui wartawan di Putrajaya, Anwar berkata, beliau telah meminta proses memberi keterangan ditangguhkan kerana perlu hadir di IPK Kuala Lumpur pukul 2 petang ini untuk memberi keterangan berhubung dakwaan meliwat.

Kata beliau: "Oleh kerana waran tangkap sudah dikeluarkan, saya perlu berada di IPK Kuala Lumpur di sana dengan segera."

Ketika ditanya mungkin ditahan, Anwar memberitahu, beliau sedia jika ditahan dan BPR boleh mengambil keterangan di lokap."

Wartawan mStar Online yang berada di IPK Kuala Lumpur melaporkan Anwar dibawa dalam kereta polis dengan diiringi kira-kira 15 buah kereta, dipercayai dinaiki anggota polis dan peguamnya.

Surat arahan polis bertarikh 15 Julai (semalam) menyebut Anwar perlu hadir di IPK Kuala Lumpur dan menemui pegawai penyiasat Jude Pereira pada pukul 2 petang ini.

Di IPK Kuala Lumpur Anwar ditemani peguam Sankara Nair dan R. Sivarasa.

Isteri Anwar, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pula tiba dari Parlimen selepas dimaklumkan mengenai tangkapan Anwar.

Beliau disusuli oleh peguam Karpal Singh yang tiba lima minit kemudian.

"Sekarang tidak tahu keadaan lagi. Cara polis (menangkap Anwar) ganas, akan cuiba menjamin beliau secepat mungkin," kata Azizah kepada para pemberita.

Selepas keluar dari IPK, Dr. Wan Azizah meminta semua orang supaya bertenang.

"Saya kecewa kerana polis bertindak sedemikian. Ini tidak diperlukan, saya kesal kerana suami saya ditangkap.

"Kami sudah memberi jaminan bahawa Anwar akan datang sebelum pukul 2 petang," katanya lagi.

Terdahulu Karpal pula memberitahu, setakat ini (sehingga pukul 2.30 petang) Anwar tidak ditahan, cuma dibawa untuk memberi keterangan kepada polis.

Sama ada ditahan ataupun sebaliknya hanya akan diketahui selepas keterangan diambil, kata Karpal.

No comments

Powered by Blogger.