Di sebalik peralihan kuasa, Najib 'main politik' dengan Abdullah
Fri | Jul 11, 08 | 9:22:48 am MYT
Majlis Tertinggi (MT) Umno, yang bermesyuarat petang Khamis, 10 Julai di PWTC membuka 'pekung' Timbalan Perdana Menteri (TPM), Dato' Seri Najib Tun Razak, yang jelas 'bermain politik' dengan bosnya, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, apabila bersetuju meminta bahagian-bahagian Umno mencalonkan Abdullah sebagai Presiden dan dia sendiri sebagai timbalan Presiden, sebaik sahaja ada persetujuan peralihan kuasa, Jun 2010.
Selama ini, Najib dilihat mendiamkan diri - mengelak untuk menyatakan sokongan atau meminta bahagian-bahagian memberikan sokongan kepada Abdullah, walaupun berkali-kali Abdullah melafazkan bahawa penggantinya, ialah Najib.
Malahan, dalam perjumpaan dengan semua ketua-ketua cawangan Umno dari negeri Pahang, di PWTC, bulan lalu, yang tidak dihadiri Najib, Abdullah masih mengeluarkan kenyataan bahawa; "sabarlah. Kalau saya berundur, pengganti saya adalah orang dari Pahang (merujuk Najib)," namun tidak sepatah pun keluar kenyataan dari Najib meminta semua bahagian di Pahang, sekurang-kurangnya mencalonkan Abdullah sebagai Presiden.
Tidak ada sejarah, Najib naik kerana 'melawan' sesiapa tetapi apabila keputusan PRU 12, Mac 8, 2008 yang lalu, tidak meyebelahi BN, Najib dilihat resah kerana dalam keadaan dia tidak dilihat mahu melawan Abdullah tetapi dalam masa yang sama, dia tidak menyatakan sokongan dan meminta semua ahli-ahli di bawah menyatakan sokongan kepada Abdullah.
Secara tiba-tiba, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin tampil menjadi 'tokoh yang paling lantang' bercakap soal kepimpinan dan perlaihan kuasa.
Ada beberapa sumber yang dekat dengan Najib dan Muhyiddin memberitahu, kedua-dua tokoh Umno ini sudah mengadakan beberapa kali perbincangan, mahu membuat desakan supaya Abdullah berundur.
Yang nyata, Abdullah seperti kehilangan kawan-kawan. Selama ini, dia dikatakan cukup intim dengan MB Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob.
Dalam tahun 1993, ketika Tun Ghafar Baba (Allahyarham) mahu ditentang Dato' Seri Anwar Ibrahim, Adnan adalah satu-satunya pemimpin Umno bahagian (Adnan mengetuai Umno Bahagian Bentong) yang lantang mempertahankan Ghafar dan Abdullah.
Namun, kebelakangan ini, Adnan dikatakan semakin kurang bersuara mempertahankan Abdullah kerana dua sebab, kata satu sumber.
Sebab pertama; Adnan menyifatkan Abdullah bukan 'bersendirian' ketika membuat sesuatu keputusan dan kedua; mungkin Najib sudah memberi 'signal' kepada Adnan supaya lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan mengenai 'peralihan kuasa'.
Ada juga yang hairan, di mana Dato' Seri Mahdzir Khalid, bekas MB Kedah dalam suasana sekarang?
Rata-rata hairan, sebagai �orang Abdullah� kenapa Mahdzir sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah, tidak berpendirian seperti Pulau Pinang, Perlis, Selangor dan Melaka.
Kata mereka, Mahdzir sepatutnya berdiri di barisan paling depan mempertahankan Abdullah dalam soal mempertahankan jawatan Presiden Umno.
Kenyataan awal MB Johor, Dato' Abdul Ghani Othman yang menyerah bulat-bulat kepada cawangan-cawangan untuk menyuarakan ketidak puasan hati masing-masing dalam mesyuarat cawangan yang akan berlangsung, ditafsirkan sebagai 'serangan kepada Abdullah' yang difahamkan tidak mahu mengekalkan Ghani sebagai MB Johor selepas PRU 12 yang lalu. Namun, khabarnya, pihak Istana Johor masih mahukan Ghani kekal dan tidak perlu diganti.
Selain Mahdzir dan Ghani, ada juga yang mempersoalkan mengapa MB Negeri Sembilan, negeri yang BN tidak mempunyai suara 2/3 dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Seri Mohamad Hassan tidak turut menyatakan sokongan kepada Abdullah.
Padahal, kedudukan Mohamad betul-betul dipertahankan Abdullah. Jika tidak, hanyutlah Mohamad dari arena politik tanahair kerana dakwaan 'tingkah laku' dia dan adik beradiknya menyebabkan Negeri Sembilan hampir-hampir menyamai nasib yang menimpa Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor.
Tidak ramai yang mahu bertanya dengan MB Terengganu di mana pendiriannya dalam soal kepimpinan sebelum Abdullah mengumumkan pengundurannya Jun 2010. Ini kerana, kontroversi perlantikannya sebagai MB, cukup 'melukakan'.
Malahan, seorang menteri yang di gelar pakar perlembagaan pernah meramalkan Ahmad Said akan 'gugur seperti nangka masak' jika dia mengangkat sumpah tanpa restu Kuala Lumpur.
Ketika ramai yang nampak Najib tidak bersungguh-sungguh mempertahankan Abdullah, sebelum Abdullah mengumumkan tarikh peralihan kuasa, maka ramai 'juak-juak Najib' sudah mentafsirkan sendiri politik orang nombor dalam negara ini.
Mereka sudah berjalan ke seluruh negara, meminta bahagian-bahagian mencalonkan Najib sebagai Presiden dan Muhyiddin sebagai timbalan Presiden.
Bukan senang untuk Najib dan orang-orangnya mahu memperbetulkan semula situasi runcing ini.
Jangan terkejut jika Muhyiddin yang sudah bersiap sedia mahu menawarkan diri bertanding kerusi timbalan presiden, dengan harapan Najib bertanding Presiden, akan mengantikan Najib, untuk terus bertanding Presiden.
Bunyinya seperti mustahil, tetapi Muhyiddin tiada pilihan. Dari kalah di tangan Najib, Muhyiddin tentunya 'lebih bermaruah' jika dia kalah di tangan Abdullah.
Lagi pun, apabila Muhyiddin bercakap soal kepimpinan, dia mengarahkan 'meriam' ke arah Abdullah dan bukan ke arah Najib. Oleh yang demikian, untuk apa Muhyiddin menentang Najib sedangkan dia bermasalah dengan Abdullah?
Untuk mempertahankan semula kedudukan sedia ada, sebagai naib presiden, disaat-saat ini amatlah payah, bagi Muhyiddin. Dengan kahadiran ramai muka baru yang dilihat berpotensi, Muhyiddin lebih mudah menang kerusi timbalan presiden, jika Najib bertanding kerusi Presiden.
Pertandingan tahun 2004 membuktikan Muhyiddin hanya berbeza sekitar 45 undi dengan Tan Sri Muhammad Muhd Taib, yang ketika itu bukan menteri.
Bayangkan kalau Muhammad juga seorang menteri ketika itu? Undi Muhyiddin sebanyak 1,234 hanya menduduki tempat ketiga dibelakang Tan Sri Mohamad Isa Abdul Samad dan Dato' Seri Mohd Ali Rustam yang pertama kali bertanding sedangkan Muhyiddin mempertahankan jawatan tersebut yang dimenangi tahun 2000 selepas tewas dalam tahun 1996.
Satu sumber memberitahu, sokongan dari perwakilan Umno Negeri Johor sendiri tidak 'bulat' kepada Muhyiddin.
Itulah sebabnya, Muhyiddin tidak mendapat undi terbanyak, walaupun dia datang dari Johor, satu-satunya negeri yang menghantar jumlah perwakilan paling ramai ke Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur.
Ini disebabkan hubungan 'kurang mesra' Muhyiddin dengan Ghani Othman menyebabkan Muhyiddin sukar mendapat sokongan bulat dari Johor.
Jika dibandingkan dengan Mohamad Isa dan Mohd Ali, Muhyiddin tidak seharusnya berada di tempat ketiga kerana Mohamad Isa datang dari Negeri Sembilan yang hanya mempunyai lapan Umno bahagian manakala Mohd Ali yang datang dari Melaka, hanya mempunyai enam Umno bahagian.
Itulah sebabnya, sebelum Abdullah mengumumkan tarikh 'pelan peralihan kuasa' Muhyiddin dilihat 'berakit' dengan Najib untuk jawatan presiden dan timbalan presiden.
1 Najib harus bekerja dengan Muhyiddin yang datangnya dari Johor kerana sejarah Allahyarham Tun Razak Hussein, bekerjasama dengan Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman dan kemudiannya Allahyarham Tun Hussein Onn, kedua-duanya dari Johor bagi memastikan sokongan besar dari Johor dapat 'menjamin' kemenangan selesa kepada Najib.
Dr Mahathir sendiri memilih Tun Musa Hitam (juga dari Johor) apabila menjadi Perdana Menteri, sedangkan banyak pihak menyifatkan kerusi itu 'hak' Tengku Razaleigh Hamzah yang dikatakan lebih senior dari Musa.
Apabila mereka berkrisis, Dr. Mahathir hampir tewas kepada Tengku Razaleigh Hamzah yang mendapat sokongan Musa, manakala Tun Ghafar Baba hanya menang 40 undi, menewaskan Musa, dengan 41 undi rosak.
Catatan sejarah ini, membuatkan, calon-calon Presiden Umno perlu 'mendapat' sokongan dari Umno Johor, selain Sabah dan Perak yang juga mempunyai perwakilan teramai walaupun Selangor, Kedah dan Kelantan juga turut menghantar jumlah yang besar perwakilan ke perhimpunan agung mereka.
Walaupun lidah Najib kelihatan kelu apabila Abdullah mengumumkan dia sebagai penggantinya, pertengahan tahun 2010, tetapi dalam masa yang sama,
Najib tentunya tidak mudah tunduk dengan gerak kerja yang sudah dijalankan secara senyap-senyap, untuk menjadi Presiden Umno dalam bulan Disember tahun ini
No comments
Post a Comment