Keusahawanan kerana tiada pilihan?
PERTENGAHAN tahun ini akan menyaksikan graduan-graduan baru akan menamatkan pengajian sama ada dari universiti tempatan ataupun luar negara.
Apa pilihan graduan-graduan yang baru menamatkan pengajian ini? Graduan-graduan Melayu digalak menukarkan mentaliti daripada mengharapkan pekerjaan makan gaji kepada menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.
Banyak agensi kerajaan kini giat mempromosikan program dan pinjaman untuk menjadi usahawan.
Biasanya ketika kegawatan ekonomi yang menyebabkan kurang peluang pekerjaan maka berduyun-duyun siswazah menganggur memohon pinjaman dari institusi kerajaan untuk menjadi usahawan.
Tetapi sebahagian besar daripada kumpulan ini sebenarnya tidak sepenuh hati untuk menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan mereka.
Kumpulan inilah yang banyak berniaga separuh jalan, tidak tahan dugaan dan mudah mengalah. Dan lebih buruk lagi kumpulan yang tidak ada hala tuju ini akan menakutkan orang Melayu lain yang ingin menjalankan perniagaan apabila melihat kumpulan ini gagal. Persepsi buruk akan terlekat bahawa keusahawanan bukanlah kerjaya yang terbaik.
Banyak contoh menunjukkan siswazah yang melibatkan diri dalam perniagaan biasanya akan menarik diri apabila perniagaan mereka menghadapi masalah. Katakan jualan mereka tidak menggalakkan dan kadangkala rugi. Mereka biasanya tidak cuba untuk menyelesaikan masalah.
Hal ini berbeza dengan senario usahawan tanpa kelulusan tinggi. Mereka biasanya bersungguh-sungguh untuk berjaya. Mereka inginkan kehidupan yang lebih baik. Dengan SPM mungkin mereka hanya boleh menjawat jawatan sebagai kerani dengan gaji RM800 sebulan. Tetapi untuk dapat pendapatan lebih daripada itu, tidak lain dan tidak bukan hanya melalui perniagaan. Kerana itu mereka akan berusaha sehabis daya sehingga berjaya.
Sebenarnya apa yang lebih penting ialah siswazah-siswazah perlu diberi kesedaran bahawa mereka adalah generasi yang diharapkan untuk mengubah budaya dan corak pekerjaan orang Melayu yang selama ini terlampau bergantung kepada kerja makan gaji dan mengharapkan pekerjaan tetap sebagai kakitangan kerajaan.
Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi telah menetapkan sasaran untuk mencapai 150 ribu orang usahawan. Dan graduan-graduan ini bertanggungjawab untuk memastikan misi mencapai 30 peratus pegangan bumiputera dalam perniagaan tercapai.
Persepsi kebanyakan masyarakat Melayu yang menganggap keusahawanan sebagai sesuatu yang tidak menjamin masa depan harus dikikis. Kepada para graduan terutamanya orang Melayu, kita ingin mereka menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan, bukan kerana tiada pilihan.
No comments
Post a Comment