Masanya tiba untuk menyatakan pendirian terhadap Presiden PAS

Saya menerima banyak reaksi dari kawan-kawan berhubung temuramah eksklusif Presiden
PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang di dalam keluaran terbaru Harakah. Untuk makluman seluruh kenyataan beliau di dalam Harakah itu terbit dari pandangan dan pendirian beliau sebagai Presiden parti Islam terbesar dalam negara.

Sudah pastilah ada yang menyokong, ada yang menolak dan ada yang enggan beri reaksi. Apa pun orang awam berhak menyuarakan pandangan dan memberikan reaksi kerana Tuan Guru sekadar seorang pemimpin politik dalam negara kita yang mengamalkan demokrasi. Berbeza dengan ahli-ahli PAS, Tuan Guru adalah Presiden mereka, ketua tertinggi dalam parti mereka, dan PAS sebagai sebuah gerakan Islam menuntut ketaatan dari ahli-ahli jemaahnya terhadap pemimpin mereka selagi mana pemimpin tadi tidak menjalankan kerja-kerja yang bertentangan dengan syariat.

Saidina Abu Bakar as Sidiq, Khalifah Islam yang pertama selepas Rasulullahg saw pernah berkata:

"Tidaklah meninggalkan jihad oleh sesuatu kaum melainkan Allah akan menimpakan ke atas mereka kemusnahan dan kehinaan. Taatlah kepada aku selagi aku taat kepada Allah dan rasulNya. Sekiranya aku tidak taat kepada Allah dan rasulNya, maka jangan lagi kamu taat kepadaku".

PAS sebagai sebuah gerakan Islam memiliki adab dan disiplin berjemaahnya sebagaimana yang digariskan oleh Islam. Sebagaimana kata Tuan Guru dalam temuramah itu:

PAS adalah parti yang menegakkan Islam dengan makna yang menyeluruh.

Salah satu adab berjemaah yang digariskan oleh Islam adalah taat ataupun wala'. Di dalam kita "Manhaj Daurah Tadribiyah" keluaran Lajnah Tarbiyah PAS Pusat yang merupakan salah sebuah kitab wajib dalam usrah PAS, disebut:

Ketaatan itu membawa kepada menunaikan tugas mengikut arahan kepimpinan dan tidak bertindak sendiri tanpa pengetahuan kepimpinan sehingga menjadi kelam-kabut yang boleh menimbulkan adanya kumpulan dalam parti yang mempunyai perancangan yang berbeza dan strategi yang berlainan yang boleh membawa perpecahan dan wujudnya kumpulan atau jemaah dalam parti.

Ketaatan membawa penyelarasan yang baik dikalangan seluruh anggota dan sayap parti dan melaksanakan amal jama'ie yang tidak boleh dijejaskan oleh pandangan individu yang berbeza lalu mengikut selera masing-masing sehingga jentera parti menjadi celaru dan tidak selaras antara satu sama lain.

Bacalah dengan teliti dan sangka baik keseluruhan kenyataan Tok Guru itu. Beliau saya yakin telah mengambil-kira semua faktor, dan sebagai ulamak, saya yakin beliau mendahulukan kepentingan Islam dan jemaah mengatasi segala-galanya insyallah.

No comments

Powered by Blogger.