Nik Aziz: PAS sedia muzakarah

KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata parti itu sedia bermuzakarah dengan Umno mengenai perpaduan Melayu hanya jika itu adalah kehendak anggota akar umbi dan bukannya kepimpinan Umno bagi memastikan PAS tidak terjebak sekali lagi dalam "perangkap politik Umno."

Katanya cadangan untuk mengadakan perbincangan itu hendaklah datang daripada peringkat cawangan Umno yang dibawa kepada peringkat bahagian dan seterusnya ke Perhimpunan Agung Umno.

Menteri Besar Kelantan itu berkata beliau menetapkan syarat itu kerana merasakan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam untuk mengadakan muzakarah dengan PAS lebih kepada permintaan peribadi Presiden Umno itu dan bukannya daripada kehendak Umno sebagai sebuah parti.

"Pak Lah kini dalam keadaan yang terhoyong-hayang dan dia sudah menetapkan tarikh untuk serah kuasa, jadi dalam keadaan sekarang saya melihatnya lebih kepada permintaan peribadi.

"Dalam keadaan ini saya teringat pada (bekas Perdana Menteri Allahyarham) Tun Razak Hussein yang pernah meminta PAS bergabung dengan Umno tetapi kami dikhianati. Saya bimbang ini adalah satu perangkap," kata Nik Aziz kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka di sini hari ini.

Beliau berkata dengan cadangan daripada peringkat akar Umno itu, ianya menunjukkan keikhlasan Umno secara keseluruhan untuk mengadakan muzakarah, sekaligus mencerminkan Umno sudah menolak konsep kebangsaan yang dipegang parti itu dan menerima Islam sebagai agama yang membawa kepada kemajuan dan bukan memecahbelahkan rakyat.

Katanya beliau tidak mahu Umno menjadikan perbincangan itu kelak kerana terdesak kerana mahu mencaturkan semula politik akibat kekalahan teruk dalam pilihan raya umum lalu.

Nik Aziz juga berkata bahawa Umno sebagai parti tulang belakang kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu menunjukkan keikhlasannya dengan tidak menyekat rancangan pembangunan yang telah disediakan di peringkat pusat kepada Kelantan.

"Seperti projek pembinaan pasar baru di Pasir Mas yang bernilai RM8 juta, tiba-tiba projek itu disekat. Kita, kerajaan negeri, sudah bersusah payah untuk dapatkan tanah bagi tapak kawasan projek itu, tibatiba tidak jadi. Di mana keihklasannya, ini bukannya projek mega pun," katanya.

Nik Abdul Aziz berkata sehingga kini beliau belum diberitahu mengenai perkara-perkara yang akan dibincangkan dalam muzakarah itu.

Beliau mencadangkan pihak ketiga dijemput sebagai orang tengah dalam muzakarah itu.

Nik Aziz juga meminta Umno memohon maaf secara terbuka kepada PAS bagi dakwaan yang pernah dibuat terhadap parti itu.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan bahawa Umno pernah mengkhianati PAS, beliau berkata perkara itu berlaku ketika Umno dalam keadaan bergolak, dan setelah PAS bersetuju bergabung, Umno telah memecahbelahkan PAS kepada tiga puak sebelum "menghalau keluar PAS".

Beliau turut menjelaskan bahawa pelbagai rintangan yang dilaporkan wujud dalam kerjasama antara DAP dan Parti Keadilan Rakyat, merupakan gembar-gembur media.

"Hakikat sebenar, kerjasama Pakatan Rakyat (yang turut melibatkan PAS), semakin kukuh," kata Nik Aziz.

Mengenai DAP yang sebelum ini lantang menolak beberapa pandangan PAS, beliau berkata DAP tidak pernah menipu PAS sebaliknya parti itu lebih berterus terang jika ia tidak menerima PAS.BERNAMA

  • Ahmad Said dan pemimpin PAS Terengganu bincang hal rakyat
  • Hishammuddin setuju cadangan PAS-Umno bermuzakarah
  • Pas bukan "melukut di tepi gantang"
  • Abdullah terima baik cadangan berbincang dengan PAS
  • No comments

    Powered by Blogger.