Pakatan Rakyat bersedia hadapi pilihan raya kecil di Permatang Pauh
Pengerusi Perhubungan parti itu, Dato' Zahrin Mohd Hashim menambah, seandainya senario ini menjadi kenyataan KeADILan Permatang Pauh dipertanggungjawabkan untuk membentuk semula strategi sepertimana ketika menghadapi pilihan raya umum ke-12 lalu.
"Pulau Pinang sudah bersedia menjadi negeri pilihan Dato' Seri Anwar jika ia mahu ke parlimen. Terpulang kepadanya kita tidak berikan tekanan lagipun ada juga tempat lain membuka peluang yang sama, " terangnya dalam majlis meraikan penerimaan pingat Darjah Utama Pangku Negeri (DUPN) yang membawa gelaran 'Dato' Seri' kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh, Dr. Wan Azizah Wan Ismail semalam.
Menurutnya, mulai sekarang, Parlimen Permatang Pauh dikehendaki mempergiatkan usaha penerangan di samping memperkukuhkan jentera di peringkat akar umbi agar pergerakan diselengarakan semula.
Kita sedar tambahnya, pilihan raya kecil akan menjadi tumpuan keseluruhan jentera parti berbagai peringkat di kedua-dua belah parti yang bertanding namun yakin kesedaran rakyat akan mengulangi hukuman terhadap Barisan Nasional (BN) yang mengkhianati masa depan negara.
"Pengundi Permatang Pauh tahu senario sebenar siapa pemimpin BN dan mereka telah bijak memilih, " katanya yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru.
Timbalan Ketua KeADILan Bahagian Permatang Pauh, Che Mat Hashim berjanji akan melaksanakan tugasan tersebut dengan baik bagi memastikan Dato' Seri Anwar menang besar.
Gerakerja di peringkat akar umbi akan dipertingkatkan supaya rakyat terus memilih Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil itu nanti.
Ketua Wanita KeAdiLan Bahagian Permatang Pauh, Khatijah Yahya pula berkata, jentera pilihan raya KeADILan akan ditambah berbanding pilihan raya umum lalu dengan bantuan jentera muslimat PAS.
"Kami yakin KeAdiLan boleh menang asalkan gerakan bersepadu di semua peringkat kalangan Pakatan Rakyat, " tegasnya.
Sementara itu, Yang Dipertua PAS Permatang Pauh, Omar Hassan ketika dihubungi menambah, PAS bersedia menghadapi pilihan raya kecil Permatang Pauh bila-bila masa bersama KeADILan.
"Semua jentera PAS dari muslimat dan pemuda akan dikerah untuk berhadapan dengan jentera BN yang sudah pasti melakukan apa sahaja untuk mencapai kemenangan, " ujar beliau. - mks._
No comments
Post a Comment