Parlimen mula dikawal ketat, wartawan dihalang

Jul 14, 08 10:15:04AM

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Hrkh) - Benarlah, kawasan di sekitar parlimen mula disekat dan dikawal rapi oleh pihak polis.

10.30 pagi: Dilaporkan pihak berkuasa dengan kekuatan seramai 200 anggota polis, 100 orang anggota berpakaian preman dan 4 trak FRU berkawal di sekitar parlimen. Sementara itu, wartawan dan jurugambar dari media alternatif termasuk dari agensi asing turut dihalang dan berlegar di luar bangunan parlimen

10.10 pagi: Media alternatif termasuk dari Harakah, Malaysiakini dan WebTVPAS dihalang dari masuk ke parlimen dengan alasan tidak mempunyai pas rasmi

9.45 pagi: Wartawan Harakah yang ingin membuat liputan sidang Dewan Rakyat yang berlangsung hari ini masih lagi menunggu giliran untuk masuk ke kawasan tersebut.

9.30 pagi: Wartawan Harakah dan petugas media lain telah ‘dipaksa’ berjalan kaki sejauh hampir sekilometer daripada pintu pagar Parlimen dan sebarang kenderaan media tidak dibenarkan masuk.

Sehingga berita ini ditulis, hanya kenderaan Ahli Parlimen sahaja yang dibenarkan masuk.

Sebelum ini,Menteri Di Jabatan Perdana Menteri,Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata langkah keselamatan itu terpaksa diambil selepas beliau mendapat maklumat satu demonstrasi besar-besaran akan diadakan oleh pihak pembangkang sama ada di dalam ataupun di luar kawasan Parlimen.

Ia ekoran tindakan Ketua Pembangkang Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail mengetuai 14 ahli Parlimen pembangkang mengemukakan usul ketidakpercayaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kepada Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, yang akan memutuskan sama ada menerima atau menolak usul itu, Isnin ini.

“Saya difahamkan, sama ada usul ini akan diterima ataupun ditolak, saya telah mendapat maklumat satu demonstrasi besar-besaran akan dibuat sama ada di dalam atau di luar kawasan Parlimen, Isnin ini,”dakwanya.

Nazri berkata pihak polis akan membuat kawalan yang ketat dan hanya akan membenarkan ahli Parlimen sahaja masuk ke dalam kawasan Parlimen.

“Saya telahpun menghubungi Speaker memaklumkan tentang tindakan yang saya ambil ini, semata-mata untuk keselamatan ahli-ahli Parlimen dan juga kawasan Parlimen.

“Keselamatan Anggota-anggota Parlimen dan keselamatan kawasan Parlimen adalah diutamakan dan kita tidak mahu apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku dalam kawasan Parlimen,” katanya lagi.

Ditanya sama ada pihak media yang membuat liputan akan turut terjejas dengan langkah keselamatan tersebut, Nazri berkata perkara itu adalah terpulang kepada pihak polis.

“Media, memanglah mereka bertugas. Jadi apa juga tindakan yang diambil oleh pihak polis itu terpulang kepada budi bicara mereka kerana akhirnya polis yang bertanggungjawab di atas keselamatan di kawasan itu,” katanya.

http://www.harakahdaily.net

No comments

Powered by Blogger.