adakah annuar ada muslihat~malaysiakini

Annuar Ulangi Pendirian Tidak Tanding Naib Presiden

KOTA BAHARU, 14 Okt (Bernama) -- Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Tan Sri Annuar Musa tetap dengan pendirian tidak akan bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti Mac ini walaupun telah mendapat satu pencalonan daripada kuota 20 pencalonan yang diperlukan.

Annuar berkata untuk memberi laluan kepada bakat baru dalam parti, beliau juga tidak akan mempertahankan jawatan sebagai anggota Majlis Tertinggi yang disandang sejak tahun 1991.

Katanya Pemuda Umno Kelantan, pada minggu lepas, mencadangkannya bertanding Naib Presiden dan beliau menyatakan memerlukan masa untuk menimbang cadangan itu memandangkan sebelum ini, beliau telahpun membuat ketetapan untuk tidak bertanding apa-apa jawatan kali ini.

"Malah saya sudah menyebut perkara ini pada Presiden (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dan Majlis Tertinggi (MT) sebelum mesyuarat bahagian-bahagian bermula lagi. Namun Bahagian Machang sudahpun mencalonkan saya dan lebih daripada 34 bahagian telah menghubungi saya meminta kepastian untuk mereka mencalonkan saya Naib Presiden.

"Setelah menimbang dengan semasak-masaknya dan mengambil kira semua aspek sukalah saya memaklumkan pendirian muktamad saya bahawa saya mengekalkan pendirian tidak bertanding jawatan Naib Presiden dan saya juga tidak akan mempertahankan jawatan Ahli MT yang saya sandang sejak 1991," katanya menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada Bernama di sini, hari ini.

Katanya dengan pendirian itu, tidak perlu lagi bahagian yang bercadang untuk mencalonkan beliau bagi mana-mana jawatan dalam parti, berbuat demikian.

Bagaimanapun, Annuar berkata beliau akan tetap aktif membantu pucuk pimpinan dan parti seperti biasa dan menyokong Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan bertanding jawatan Presiden pada pemilihan parti kali ini.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.