Nat : Cerpen balasan Chamil Wariya

Berikut adalah sebuah karya fiksyen yang berasaskan cerpen hasil Datuk Chamil Wariya yang bertajuk “Politik Baru YB J.” Ia merupakaan ciptaan sastera semata-mata yang tidak berhasrat menyinggung mana-mana pihak.

Datuk Chariya Wamil di dalam perjalanan ke sebuah acara makan malam. Beliau dipandu oleh pemandunya, Ali, dan akan menjemput YB L, seorang politikus pembangkang, untuk pergi sekereta.

Ali, yang baru mula bekerja dengan Datuk C, menyuarakan: “Wah, tok, semua orang bincangkan cerpen tok sekarang.”

“Itu matlamatnya Ali, itu matlamatnya..” jawab Datuk C, memandang ke luar tingkap, melihat rumah-rumah dan lampu jalan berlalu.

“Tok tak takut ke, orang marah ke, nak bertindakbalas ke apa?”

“Takut tindakbalas? Untunglah kita, jika ada tindakbalas,” Datuk C memandang balik ke Ali.

“Huh? Macam mana tok?”

Datuk C senyum.

“Ali, Ali.. tak baca ke, cerpen tu? Ingat tak cerita peralihan kuasa dari Tunku ke Razak? Kita ni dalam krisis, dan kita perlukan pencetus.”

“Pencetus? Nak cetus apa tok?”

Datuk C senyum sendiri lagi.

“Takle apa-apa… tapi kita harus ingat, sudah berdekad-dekad kami berkuasa, atas prinsip kontrak sosial. Kontrak itu tak boleh dipertikaikan. Kalau dipertikai, hancur kita semua.”

“Tak kan POM hancur begitu senang tok?” (POM adalah Parti Orang Melayu).

“Jangan kata POM Ali, bila cakap, istilah betul adalah ‘Orang Melayu’ - orang Melayu yang akan hancur jika berlaku pertikaian terbuka seperti yang berleluasa sekarang.”

“Ya.. betul tok…. tapi, kawan-kawan saya selalu cakap Parti Kesaksamaan Rakyat dan Parti Orang Islam tu semua dipimpin orang Melayu jugak kan tok?”

Datuk C memandangkan Ali seakan-akan Ali seorang budak 5 tahun.

“Ali, ko harus faham betul-betul. Ko cakap sama kawan-kawanmu, orang Melayu hanya ada satu wakil sahaja, Parti Orang Melayu. Itu yang ada dulu, yang ada kini dan akan ada selamanya. Itu saja yang tulen. Jika mereka tanya lagi, ingatkan mereka, Semangat 64 lenyap, Parti Rakyat orang komunis, PKR itu Parti Ibrahim Anwar pembelot bangsa terunggul, dan Parti Orang Islam itu parti Taliban.”

“Tok…. tok percaya ke semua tu?”

“Kisah apa, apa aku percaya?! Ko nak terus cukup makan tak?”

“Err.. ya.. ya tok, mau.”

“Habis tu, belajar betul-betul. Jika orang ramai mula belajar yang bukan-bukan, POM akan bankrap, saya akan bankrap, ko akan bankrap.”

“Err.. ya tok.”

“Ajaran pertama: semua orang bukan Melayu hanya pendatang. Cina sudah habis songlap wang ko, dan jika jumpa ular dengan India, pukul ular dulu. Pendatang ni semua ingin cuba curi hak dan maruah ko.”

“Ya tok….”

Rasa keliru dan tidak senang timbul di muka Ali. Akhirnya dia bersuara, “Tapi tok… bukan semua kan? Jiran saya yang Cina tu…. ok orangnya tok..”

“Ko nak kisahkan jiran ko yang makan babi tu, atau ko nak kisahkan anak isteri ko yang akan lapar bila saya terpaksa pecat ko kerana sudah tak mampu bayar gaji ko?”

“Err…”

“Baik, ajaran kedua. Maksud sebenar Politik Baru yang ditonjol-tonjolkan pembangkang yang ingin ‘meratakan’ rakyat Malaysia adalah dengan menarik ke bawah kedudukan politik dan hak-hak tulen orang Melayu.”

“Maksudnya bumiputera tok?”

“Guna istilah ‘orang Melayu.’ POM merupakan satu-satu institusi yang boleh menjamin kedudukan orang Melayu serta kesejahteraan antara kaum. Terdapat ‘majoriti senyap’ dari semua kaum yang menyokong kontrak sosial yang asal ini demi mempertahankan harmoni di Malaysia.”

“Ya tok, faham… Tok, siapa sebenarnya yang menjadi inspirasi untuk penembak dalam cerita tok tu? Saya tak sedar tok ni peka sangat dengan sentimen masyarakat Cina - saya jarang nampak tok bergaul dengan mereka pun..”

“Ali, ko tak nampak, bukan maksudnya tak ada.”

“Ya, tok.”

“Ko ingat diorang nak bergaul sangat dengan saya? Orang Cina yang kaya raya dan sombong mana nak turun kepada orang Melayu miskin-miskin macam kita ni?

“Ya tok….”

Ali teringat sesuatu.

“Oh ya tok, sebelum saya lupa tok, besok malam ke majlis POM di Mandarin Oriental tu nak pakai BM ke Merc tok?”

“Hmm? Oh ya… Merc, Merc..”

“Baik tok..”

Fikiran Datuk C terbang balik ke masalah dalaman yang dihadapi POM. Kenapa agaknya susah sangat nak guna balik strategi dulu - masalah dalaman, hantam orang luar, masalah hilang.

Mungkin keadaan belum cukup parah lagi. Mungkin api belum membara.

“Ali, ko jangan lupa bagi tau kawan-kawan ko di kedai kopi tu. Kita semakin terancam, semakin ramai yang nak ambil kesempatan ke atas PO… eh, orang Melayu ni.”

“Err.. ya tok…. tapi….”

“Tapi apa lagi? Masih nak pertahankan jiran ko?… Ya, mungkin ok orangnya jugak… Penembak dalam cerpen tu bukan hasil karyaan bermimpi. Beratus ribu bukan Melayu yang sanggup mengorban dan mengambil langkah drastik untuk mengelakkan perkara drastik yang tak senonoh.”

“Ya tok…”

Ali keliru lagi.

“Sori tok, gimana - langkah drastik yang mana senonoh, dan langkah drastik yang mana tak senonoh tu?”

“Apa-apa gerakan pembangkang tu tak senonoh. Tak payah putar belit banyak-banyak.”

“Ya tok…”

Ali memandu dengan senyap buat seketika, Datuk C memandang balik ke luar.

“Tok, yang jadi inspirasi untuk YB J tu sebenarnya YB Cecilia kan? Baru hari tu aku bersalam dengannya. Betul jugak tok, ada masa Ali rasa YB Cecilia itu tak beberapa sensitif, tak peka kepada rasa orang Melayu… Tapi.. mesra juga, orangnya.. Macam ada keikhlasan jugak… Tak sangka sebenarnya dalam hati dia benci orang Melayu tok.”

Datuk C tersenyum lagi.

“Bagus, sekarang dah sedar. Orang Cina dalam Parti Orang Cina tu kita boleh terima lagi. Tapi jangan naif. Orang POC memang terbukti benci Melayu, saya pernah dengar dengan telinga sendiri sindiran-sindiran yang kita ni ‘binatang,’ ‘bodoh,’ macam-macam diorang mencarut. Tapi kita tak perlu kisah apa yang diorang cakap antara sendiri. Yang penting, bila bersuara kepada orang ramai, mereka selalu cakap yang betul dan senonoh.

“Mereka benci kita… tetapi… tak pe tok?”

“Jangan hiraukan yang di hati. Tengok yang di mulut.”

Ali terfikir.

“Dengan pembangkang yang tok kenal sendiri macam mana tok? Benci Melayu juga?”

“Mana saya tau??” Di sini, Datuk C mula naik angin sedikit. “Nak hiraukan apa dalam hati pembangkang buat pe? Nak dengar lama-lama apa diorang cakap lagi? Dah lupa isteri anak ko yang perlu diberi makan tu? Sanggup risikokan masa depan mereka?? Ko jangan biar pembangkang biadap tu melangkah seinci pun!”

“Oh.. ya, tok.”

“Biarlah, mereka nak bertindakbalas apa. Nak sebat aku di internet, atau belasah aku di jalan raya. Jika setitis darahku jatuh ke tanah, POM akan memerintah selamanya.”

“Ya tok.. Memang isteri saya pun cakap, sikit menggeramkan tok, cerita tembak menembak ni.. Macam budaya baru, tok.”

Datuk C semakin ghairah dengan hujahnya.

“Ko perlu baca betul-betul - bukan Melayu yang menembak dalam cerita tu, tetapi orang Cina sama sendiri. Penembak itu wira, sanggup mengorbankan diri untuk kesejahteraan negara. Jika isteri ko ni mudah takut, ko kena tegas. Ajarin dia, lebih baik YB J ditembak dari isteri ko sendiri ditembak pendatang, atau dibiar lapar kerana duit semua sudah dicuri.”

“Oh… Err.. ya, tok….”

Syak-syak wasangka timbul di fikiran Datuk C.

“Nampak macam tak yakin saja Ali?”

“Bukan tok, hanya…. isteri saya juga memang rapat dengan isteri jiran..”

“Rapat, rapat apa?! Ko semua sanggup menggadai maruah Melayu kepada PKR, POI ini yang dalangnya semua tauke asing kerana rapat? Sanggup gadai periuk nasi sendiri tak pe, nak gadaikan saya punya pulak juga?!”

“Oh, tak tok.. tak…”

“Hmph.”

Datuk C diam dan bergeram.

“Ah, situ dia, si L. Ali, ko jangan ulang perkara-perkara ni ke YB L, ini bukan untuk telinga pembangkang.”

“Baik tok.”

Pintu dibuka, YB L masuk membawa sebuah beg dan memberi salam.

“Apa khabar?” tanya YB L dengan mesra.

Datuk C tak jawab, hanya melihat muka YB L dengan senyuman yang menyindir. YB L senyum balik sahaja, dan bertanya kepada Ali, “Ali, lama tak jumpa, semua ok?”

Ali, yang menikmati keadaan yang lebih tenang dengan ketibaan rakan karibnya dari dulu menjawab “Ok saja YB, terima kasih..”

Datuk C kelihatan hilang sabar sedikit, dan menanya YB L dengan terburu-buru, “Jadi, bila korang nak saman saya nih?”

YB L keliru sekejap, justeru menjawab, “Saman?… Oh, mengenai cerpen tu? Oh takdelah, setiap sumbangan ke sastera Malaysia sentiasa dihargai.” YB L bersenyum.

“YB Cecilia dah saman akhbar tu habis-habisan, tak mungkin saya tak akan kena pulak.”

“Yang dia sudah buat itu hak dan suka hati dialah. Tapi sejak berbual dengannya pagi tadi, saya hairan, dia nampaknya semakin kurang marah atau berdendam. Ada orang kata dia dah mula timbangkan menarik balik saman atau merendahkan wang dituntut ke RM 1, ke apa.”

Mata Datuk C membesar. “Huh? Tak mungkin! Saya kenal dia, membara hatinya, dan selalu melengking atas mana-mana perkara kecil!”

“Haha, yalah tu dulu, tapi nampaknya manusia mampu berubah..”

Bila Datuk C kelihatan ternganga sedikit, YB L tanya kepada Ali pula, “Ali, isteri dengan anak gimana?”

“Ok YB, yang sulung tu baru habis UPSR, sekarang tunggu keputusan.”

“Aheh, mesti gelisah tunggu ni.. tapi saya ingat Siti tu, budak cerdik, pasti cemerlang keputusannya nanti.”

“Heh, takdela, tapi insyallah YB, insyallah.”

Datuk C, yang seakan-akan tidak dengar langsung perbualan antara YB L dan Ali tanya lagi, “Jadi, bila nak anjurkan protes anti-Perutusan Melayu ni,” merujuk kepada akhbar yang menerbitkan cerpen tersebut.

“Untuk apa tok? Kita gunala saja media sendiri, mesej sendiri. Nak maki-memaki pun tiada hasil.” Datuk C ketawa. “Ala, macam tu mengaku sajalah, cerpen saya tu tepat! Politik Baru ini tiada yang baru, dan tiada yang menerima. Di depan bunyinya ‘Malaysia untuk semua,’ di belakang masih sama, masih memperjuangkan kaum sendiri sahaja.”

YB L tersenyum, “Terpulanglah tok, interpretasi sendiri. Jika saya, yang menjadi penentu adalah undi sahaja.”

Datuk C berhenti ketawa dan dengan wajah yang serious memberi amaran dan menonjolkan jarinya, “Jangan kelirukan undi protes dengan undi sanggup gadaikan maruah Melayu.”

“Maruah Melayu dah lama tergadai tok.” Datuk C nampak seakan-akan baru ditampar. “Tergadai oleh rasuah dan penyelewangan,” sambung YB L.

Datuk C menenangkan diri. “Lagu sama saja yang korang nyanyi, tiada yang baru ke?”

“Lagu mana yang masih relevan, terpaksalah kita terus nyanyi.”

“Jangan buat macam korang akan berbeza, jika memerintah tak mungkin tak ambik sini, ambik sana. Dan si Ibrahim tu, ingat dia malaikat ke apa?”

“Tak perlu jadi malaikat - asalkan lebih baik dari yang ada, haha. Jangan ambik hati tok. Dan terus terang, belum taulah, jika rakan-rakan perjuangan saya hari ini akan rasuah besok. Yang saya tau ni pemimpin hari ini merompak di siang hari. Apa lagi, jika kami menjadi kerajaan dan saya dok merompak duit rakyat besok, pasti dimarah Ali nanti!”

Ali tersenyum tetapi enggan bersuara. Apabila dipandang marah oleh Datuk C, Ali lenyapkan senyumnya dan kembali bermuka serius.

YB L tidak senang dengan sikap Datuk C kepada Ali. YB menukar subjek, “Tapi tok, tok ni memang berani.”

Datuk C gembira, seperti selalu, apabila dipuji. Tetapi, apabila beliau melihat wajah YB L yang tiba-tiba berhenti senyum, dan melihat ke luar, melalui tingkap kiri dan kanan, munculnya perasaan bahawa ada yang tak kena.

“Ada juga mereka yang mungkin amat marah dengan tok” kata YB L dengan serius dan perlahan.
Ali pusing masuk lorong gelap - sempit, tanpa orang, dan bukannya jalan biasa ke destinasi.

Datuk C bermula berasa resah dengan tingkah laku pelik YB L. Beliau cuba mengawal diri dan fokuskan fikirannya. “Ha, patutlah. Orang yang bersalah selalu marah-marah apabila didedahkan.”

“Ya, ada jugak yang menyarankan tindakbalas, atau nak ‘mengajar’ tok, kata-mengata nak biar dia terasa ubat sendiri.”

Apa maksud si L ni?! Kenapa dia tiba-tiba berubah perangai? tanya Datuk C pada dirinya.

Tanpa apa-apa lagi kata, YB L mengangkat begnya.

Beg dibuka.

Benda dicari-cari dalam beg.

Muka Datuk C pucat.

Di sinikah riwayatku akan berakhir? Ditembak di lorong tanpa saksi? Badan dibuang ke tong sampah?

Datuk C teringat kepada Tuhan.

Ketakutan tak terhingga berbuah di dada.

YB L keluarkan tangannya dari beg.

“Tapi mesyuarat semalam, seorang kata begitu, sepuluh orang suruh dia diam,” sambung YB L dari perbualan tadi sambil bersenyum. “Lebih baik benci dijawab dengan cinta kata sepuluh orang tu.

“Oh Ali, ini untuk isteri Ali” kata YB L dengan sebotol ubat di tangan, “Hari itu Pn. Chong, jiran Ali tu beritahu saya isteri Ali masih lebam kaki. Selalu berkesan untuk saya, ubat cap cinta ni.


http://dinmerican.wordpress.com/

1 comment

Ahmad Putra said...

cerpen politik yang sangat bagus...tahniah

Powered by Blogger.