Pilihan raya kampus dipengaruhi kesan pilihan raya umum?
PETALING JAYA: Perubahan persekitaran politik negara ketika pilihan raya umum tujuh bulan lalu lalu bakal membawa kesan ke atas pilihan raya kampus atau Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) kali ini?
Pilihan raya kampus, yang sebelum Aidilfitri dikatakan akan diadakan minggu depan di beberapa institusi pengajian tinggi awam, kini telah diubah tarikh ke Disember ataupun awal tahun depan.
mStar Onlineketika menghubungi beberapa wakil pelajar memaklumkan bahawa persiapan sedang dilakukan untuk mengadakan pilihan raya pertengahan bulan ini iaitu minggu depan.
Bagaimanapun maklumat terkini, diperoleh semalam, ia kini ditunda ke hujung tahun ataupun awal Januari.
Pun begitu, perubahan aliran pemikiran pemimpin mahasiswa di universiti-universiti tempatan dilihat berkemungkinan didorong oleh pentadbiran kerajaan negeri khususnya bagi negeri yang ditadbir kerajaan Pakatan Rakyat iaitu di Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.
Jurucakap Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Afandy Sutrisno Tanjung bersetuju bahawa arus politik perdana sedikit sebanyak akan mempengaruhi suasana politik kampus pada pilihan raya kampus nanti.
"Saya tak nafikan pilihan raya umum lalu memberi impak kepada mahasiswa dalam kampus terutamanya dari segi corak pemikiran.
"Boleh dikatakan mahasiswa pada hari ini mahukan trend perubahan yang baru," katanya ketika dihubungi mStar Online.
Jelas beliau keadaan ini mungkin akan menyebabkan kumpulan yang menyokong aspirasi kerajaan menghadapi sedikit kejutan apabila berhadapan dalam pilihan raya kampus yang akan datang.
Tambah beliau, situasi pada pemilihan kampus pada penggal lalu mungkin berbeza dengan apa yang bakal dihadapi pada pemilihan kali ini.
"Bagaimanapun saya amat yakin aspirasi akan terus mengusai semua universiti awam di negara ini sebagaimana tradisinya sebelum ini.
"Mahasiswa bijak dan boleh berfikir mana yang baik untuk kepentingan mereka dan mampu untuk membawa suara mereka untuk terus memperjuangkan kebajikan," katanya.
Afandy yang juga Yang Dipertua MPP Universiti Malaya (UM) berkata, gelombang arus perubahan rakyat dapat dirasakan di universiti itu sejak berakhirnya pilihan raya umum lalu.
"Kedua-dua pihak sama ada aspirasi kerajaan ataupun bukan, nampak bersungguh-sungguh bagi memenangi pilihan raya kali ini.
"Tsunami politik yang melanda negara kini turut meninggalkan kesan kepada iklim politik mahasiswa," katanya.
Bagi Yang Dipertua MPP Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd. Zaid Mohd. Idrus, beliau mengakui senario politi kampus di universiti itu menerima kesan daripada keputusan pilihan raya pada 8 Mac lau.
"Walaupun pentadbiran MPP yang ada kini sentiasa memperjuangkan aspirasi kerajaan, namun saya dapat lihat wujud juga kumpulan pelajar yang seakan menentang apa yang cuba kita lakukan," katanya.
Menurutnya, beliau yakin pilihan raya kampus yang dijadual dalam bulan ini bakal menyaksikan persaingan antara pemimpin pelajar yang akan terus membawa aspirasi kerajaan sebagai asas kepimpinan dan kumpulan pelajar yang membawa ideologi parti politik dari luar kampus.
UKM terletak dalam negeri Selangor yang dikuasai Pakatan Rakyat.
Bagaimanapun beliau berharap persaingan yang bakal wujud itu biarlah satu persaingan yang sihat demi kepentingan mahasiswa dan seluruh warga universiti.
"Saya amat berharap mana-mana individu yang bakal bertanding dalam pilihan raya kampus nanti sentiasa meletakkan matlamat untuk membawa perubahan yang positif dan memperjuangkan hak mahasiswa tanpa terpengaruh dengan parti politik luar," katanya.
Ujar beliau politik kampus dan politik berparti adalah dua perkara yang berbeza dan tidak harus dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu.
Sementara itu, Yang Dipertua MPP Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Mohd. Raimi Rahim juga tidak menafikan senario politik di Perak yang kini milik parti pembangkang memberi kesan kepada universiti itu.
Menurut beliau, kebiasaannya pemilihan calon MPP di UPSI dibuat secara terbuka tanpa mengambil kira ideologi atau fahaman politik seseorang itu di luar kampus.
"Itu hak mereka untuk menyokong sesiapapun. Asalkan fahaman mereka itu tidak terbawa hingga ke kampus.
"Apa yang penting ialah seseorang pemimpin yang terpilih harus sedia berkhidmat kepada pihak universiti sebagai 'wakil rakyat' kepada mahasiswa," katanya.
Raimi melihat pada ketika ini sudah wujud kumpulan-kumpulan yang boleh dianggap pembangkang di kampus mula mempengaruhi warga universiti berkenaan.
"Kami sedar akan kewujudan kumpulan ini. Mereka mungkin terpengaruh dengan corak politik di luar kampus dan cuba menerapkan di UPSI.
"Tapi saya tidak pasti sejauh mana ia bakal memberi kesan pada pilihan raya kampus yang dijadual diadakan pertengahan Oktober ini (kini sudah diubah)," katanya.
Yang Dipertua MPP Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhammad Adib Hatim ketika dihubungi berkata beliau tidak menolak kemungkinan senario politik di luar kampus akan memberi kesan kepada pemilihan kali ini.
"Kemungkinan apa yang berlaku di luar akan merebak di dalam," katanya.
Bagaimanapun katanya, sehinggi kini tanda-tanda wujudnya pihak pembangkang masih belum dapat dikenal pasti.
"Selama ini UIAM dikuasai oleh pihak prokerajaan... jadi buat masa ini belum nampak ada pihak yang cuba menguasai pilihan raya kampus kali ini," katanya.
Adib berkata, universiti berkenaan dijadual akan mengadakan pilihan raya kampusnya minggu hadapan.
"Notis (pilihan raya) daripada KPT belum diterima, tapi bagaimanapun perkembangan terkini kami akan mengadakan pemilihan wakil pelajar bagi penggal baru pada 17 Oktober ini," katanya.
Katanya, mengikut jadual proses penamaan calon akan diadakan pada hari Isnin depan.
"Kemungkinan 13 Oktober adalah penamaan calon dan selepas itu calon mempunyai masa selama empat hari untuk berkempen," katanya.
UIAM merupakan universiti pertama yang mengambil keputusan membubarkan MPP mereka berkuat kuasa 19 September lalu.
Tambah Adib, mereka mempunyai masa yang cukup bagi membuat persediaan bagi menghadapi pilihan raya ini sebelum peperiksaan akhir semester yang akan bermula 27 Oktober ini.
Bagaimanapaun situasi yang wujud di UKM, UPSI dan UIAM dilihat tidak berlaku di Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang yang turut berada di negeri Pakatan Rakyat.
Yang Dipertua MPP universiti itu, Muhammad Syukri Ibrahim berkata, berdasarkan pemerhatiannya suasana politik kampus di USM tidak terpengaruh dengan keadaan politik di luar walaupun Pulau Pinang kini jatuh ke tangan Pakatan Rakyat selepas pilihan raya lalu.
"Keadaan politik dalaman di USM baik seperti sebelum ini. Tiada apa yang berubah walaupun pentadbiran kerajaan negeri sudah bertukar," katanya.
Tambah beliau, tiada tanda-tanda yang menunjukkan pada pilihan raya kampus akan datang USM akan diterajui oleh pemimpin mahasiswa yang membawa fahaman politik luar kampus.
"Saya tak fikir perkara seperti itu akan timbul tambahan pula USM kini dipilih sebagai univeristi Apex oleh Kementerian Pengajian Tinggi," katanya.
Jelas beliau penganugerahan itu adalah amanah yang diberikan kepada USM untuk terus beroleh kecemerlangan.
"Hingga kini suasana politik di USM masih aman dan damai tanpa sebarang masalah serta tiada petanda senario politik luar kampus akan menular ke dalam," katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, USM masih belum menerima sebarang arahan dari pihak universiti berhubung tarikh pembubaran dan pilihan raya akan diadakan.
"Kita tidak tahu bila tarikh pilihan raya akan diadakan, kalau ikut jadual mungkin dalam bulan ini, tapi ia bergantung pada arahan.
"Buat masa ini kami (MPP) masih menjalankan tugas-tugas seperti biasa," katanya lagi.
Jelas beliau, mahasiswa USM akan menghadapi peperiksaan akhir semester pada 3 November depan.
Dalam pada itu, Yang Dipertua MPP UitM, Luqman Nul Hakim menolak andaian bahawa kesan pilihan raya umum ke-12 akan mempengaruhi corak pengundian ketika pemilihan kampus kali ini.
Sambil menjangkakan pilihan raya MPP UiTM kali ini akan berlangsung awal tahun depan, beliau telah meminta supaya unsur melabel pelajar mengikuti fahaman politik dielakkan semasa pilihan raya kampus.
"Kami telah mengemukakan idea ini kepada Kementerian Pengajian Tinggi selepas pilihan raya umum lalu," katanya.
No comments
Post a Comment