Polis benar media bawa telefon bimbit
KUALA LUMPUR 16 Okt. – Peraturan larangan membawa masuk telefon bimbit oleh pengamal media ketika membuat liputan dalam premis polis di seluruh negara ditarik balik mulai esok.
Bagaimanapun, larangan tersebut dikekalkan terhadap orang awam yang ingin memasuki bangunan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) seluruh negara termasuk Bukit Aman.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata, peraturan itu sebenarnya berkuat kuasa sejak sebulan lalu kepada semua pelawat awam termasuk media.
Katanya, langkah itu bagi menjamin keselamatan premis polis serta mengelakkan kejadian seperti mengambil gambar premis untuk tujuan yang tidak baik berlaku.
“Bagaimanapun, arahan tersebut dikatakan menganggu tugas-tugas wartawan dan jurugambar ketika sedang membuat liputan.
“Sehubungan itu, polis mengkaji semula larangan tersebut dan bersetuju memberi pengecualian terhadap pengamal media,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Muhammad Sabtu berkata demikian sebagai mengulas satu insiden, pada sidang akhbar Jabatan Jenayah Perdagangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini yang ‘diboikot’ oleh hampir 30 wartawan dan jurugambar dari pelbagai agensi media tempatan, hari ini.
No comments
Post a Comment