Rakyat perlu diberi hak lantik PM
Jika jadual peralihan kuasa berlaku, DS Najib akan mengambil alih jawatan PM dari Pak Lah pada Mac 2009 nanti. Maknanya, sekali lagi PM baru akan mengangkat sumpah tanpa perlu melalui mandat dari rakyat. Dari segi prosedurnya, yang memilih DS Najib adalah para perwakilan UMNO Bahagian yang mencalonkan namanya. Lebih tepat lagi, ia diluluskan melalui beberapa ratus orang perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2009.
Maknanya, yang memilih PM Malaysia ialah beberapa kerat perwakilan UMNO, bukannya seluruh ahli UMNO, bukan juga ahli parti komponen BN termasuk MCA dan MIC, dan jauh sekali rakyat biasa yang bukan UMNO. Maknanya pemimpin kepada 28 juta rakyat Malaysia dipilih oleh beberapa kerat orang UMNO, walau pun rakyat mungkin menolaknya.
Ini realiti demokrasi ala Malaysia. Sistem ini sah dari sudut hukum demokrasi. Tidak juga menyanggah hukum syarak. Namun banyak lagi cara lain yang lebih adil dan lebih dekat dengan semangat demokrasi dan ruh Syariat.
Kita mengamalkan spara pemisahan kuasa dalam sistem pentadbiran. Badan Kehakiman jelas berasingan dari badan Pentadbiran dan Perundangan. Namun badan Pentadbiran (Eksekutif) dan Perundangan (Legislatif) sentiasa dikuasai oleh kelompok atau parti yang sama. Pilihanraya Umum seperti yang berlaku Mac 2008 lepas adalah satu-satunya mekanisme untuk menentukan siapa yang menguasai kedua-dua badan itu. Jika dia mengusai Parlimen (Dewan Rakyat) maka dia juga akan menguasai jentera Eksekutif melalui jawatan Perdana Menteri dan anggota kabinet.
Kita tidak ada Pilihanraya Perdana Menteri, sebagaimana Pilihanraya Presiden di Amerika Syarikat dan Indonesia. Saya mengimpikan agar satu hari nanti pemilihan PM diserahkan kepada rakyat secara langsung melalui Pilihanraya PM. Biar parti-parti mencalonkan PM mereka, kemudian serahkan rakyat untuk memilih. Jika cara ini dibuat nescaya PM yang dipilih akan mempunyai integriti yang tinggi dan kompetensi yang hebat.
Ada yang kata: Mana boleh! Kita bukan negara Republik. Kita ada Raja Berperlembagaan. Saya katakan kepada mereka, apa peduli. Semua istilah dan sistem ini dicipta oleh tangan manusia. Apa salahnya kita cipta sistem baru atau gabungjalin sistem yang ada untuk kebaikan rakyat dan keadilan semua.
Jadi bulan Mac 2009 ada lima bulan lagi. Usaha memberikan hak memilih PM kepada rakyat boleh dilaksanakan. Saya cadangkan satu Referendum Rakyat. Biar ada badan bebas, berkecuali yang dihormati yang mengambil inisiatif untuk memungut suara rakyat. Boleh juga dikendalikan oleh satu Suruhanjaya Rakyat yang mengandungi gabungan beberapa NGO. Dapatkan suara rakyat sebelum Mac 2009, dan kemudian persembahkan kepada YDPA untuk pertimbangan. Soalannya mudah:
Siapakah yang anda pilih untuk menjadi PM pada Mac 2009 nanti:
a. DS Najib (Calon dari BN)
b. DS Anwar (Calon dari PR)
Memanglah. Buat masa ini mungkin ia tidak mampu mendorong YDPA untuk pandai-pandai melantik PM yang tidak mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat. Namun ia boleh menjadi satu indikasi yang menarik bagi menyerahkan hak kepada rakyat untuk memilih PM dan anggota kabinet walau pun dia tidak menguasai Parlimen.
http://wajahesok.blogspot.com/
http://wajahesok.blogspot.com/
No comments
Post a Comment