Ahirudin: Bloggers bukan pengkhianat, lihat kami dari sudut positif!
PETALING JAYA: Presiden pro tem National Bloggers Alliance merangkap penasihat Kelab Media Kebangsaan, Ahirudin Attan, yang memblog dengan nama Rocky's Bru berharap kaedah memblog dapat dilihat dari sudut positif.
"Memberi gambaran negatif tentang memblog atau para bloggers menggambarkan seolah-olah kita sedang menuju balik ke zaman batu dan primitif. Kita sudah melalui perkara ini dulu," kata Ahirudin sebagai kenyataan balas terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi yang berkata tindakan menyebarkan fitnah dan pembohongan melalui internet dan SMS untuk mewujudkan persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan adalah perbuatan khianat.
Semalam, Abdullah mengingatkan rakyat supaya tidak melayani dan mudah terpengaruh dengan pelbagai fitnah dan pembohongan yang disebarkan menerusi laman blog dan YouTube.
Ahirudin berkata beliau turut terkilan dengan label pengkhianat yang ditujukan kepada para bloggers.
Perdana Menteri turut menyelar perbuatan menyebarkan fitnah melalui internet dan SMS itu sebagai melanggar prinsip Rukunegara seperti Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.
"Sekiranya ada unsur fitnah atau hasutan dalam mana-mana blog atau laman web, maka pihak berkuasa hendaklah mengambil tindakan dengan kadar segera," kata Ahirudin lagi.
Beliau turut memberi contoh, pengendali laman web Malaysia-Today juga blogger Raja Petra Kamaruddin (RPK) di dalam akuan bersumpahnya di dalam isu pembunuhan Altantuya di mana akuan bersumpah itu telah berada di laman web tersebut selama dua minggu, barulah pihak polis memanggil untuk mengambil keterangan dari Raja Petra.
Beliau berkata, "Kerajaan tidak sepatutnya menuding jari kepada para bloggers, kononnya telah mewujudkan persepsi negatif dalam posting mereka tapi seharusnya mengambil tindakan di atas tuduhan fitnah atau hasutan itu yang ditulis itu."
"Sama seperti istilah ada "good cops dan bad cops". Ada juga ahli politik yang baik dan jahat. Begitu juga ada para blogger yang baik dan tidak baik," kata Ahirudin.
Bekas pengarang akhbar The Malay Mail itu juga berkata, "Ahli politik juga seharusnya dipersalahkan juga kerana mereka yang memberi kenyataan pada para bloggers."
Kata beliau lagi, "Peranan blog adalah untuk membincangkan sesuatu isu yang menyentuh tentang kehidupan rakyat."
Sebagai menunjukkan protes pada permainan politik kotor dalam isu menangani kes bunuh Altantuya Shaariibuu dan dakwaan liwat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahirudin telah menutup laman webnya selama 48 jam pada hari minggu lepas.
"Banyak lagi perkara penting yang perlu diberi perhatian dan ramai yang seperti saya, bosan dengan apa yang terjadi sekarang."
Katanya, "Apa yang berlaku sekarang, secara tidak langsung adalah kerana sikap pihak berkuasa juga. Mungkin kerana ketidakupayaan pihak berkuasa untuk menguatkuasakan undang-undang dengan berkesan."
"Seandainya ada cukup bukti dan boleh teruskan dakwaan ke atasnya, kenapa tidak terus mendakwanya," kata Ahirudin lagi.
No comments
Post a Comment