jangan berani depan sahaja...umno belakang pengecut~malaysiakini

IPOH, 16 Okt (Bernama) -- Dua laporan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dibuat terhadap Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Misbahul Munir Masduki atas dakwaan salah guna kuasa.

Laporan pertama dibuat oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Manik Zainol Padzi Paharuddin di ibu pejabat BPR Perak di sini manakala laporan kedua dibuat oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Manik dan Labu Kubong, Suib Sulaiman di pejabat BPR di Teluk Intan.

Zainol Padzi yang juga Ketua Pemuda Umno Perak dalam laporannya mendakwa Misbahul Munir mengeluarkan surat arahan meminta Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyerahkan kerja menyenggara sungai, parit dan tali air kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) secara runding terus.

Sebelum ini semua kerja berkenaan diserahkan kepada PPK yang kemudiannya membuka tawaran tender kepada kontraktor di kawasan masing-masing, katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

"Dengan arahan menyerahkan semua kerja-kerja ini terus kepada JKKK yang dilantik kerajaan negeri seolah-oleh menidakkan bidang tugasan dan keupayaan kontraktor di kawasan tersebut," katanya.

Zainol Padzi mendakwa surat arahan kepada Pengarah JPS itu bertarikh 16 Sept lalu manakala surat arahan dari JPS kepada JKKK dikeluarkan bertarikh 6 Okt.

Sementara itu di TELUK INTAN, Suib, 55, dalam laporannya mendakwa Misbahul Munir menyalahguna kuasa dalam pelaksanaan projek pembangunan bernilai RM300,000 di kawasan persawahan Sungai Manik dan Labu Kubong.

Bercakap kepada pemberita di luar pejabat BPR Teluk Intan, Suib mendakwa Misbahul Munir mengarahkan Pengarah JPS menarik balik kerja menyelenggarakan projek pembangunan sawah Sungai Manik daripada pengerusi JKKK Persekutuan dan diserahkan kepada pengerusi (JKKK) yang dilantik oleh kerajaan negeri.

Beliau mendakwa sebanyak 36 pengerusi JKKKP telah menerima tawaran kerja bernilai RM300,000 sebelum ini tetapi telah ditarik balik ekoran arahan berkenaan.

Suib yang juga Pengerusi JKKKP Parit 12A Sungai Manik mengesahkan telah menerima surat daripada Pengarah JPS negeri bertarikh 16 Sept lalu dengan arahan penarikan balik berkuatkuasa 6 Okt lalu.

"Saya berharap tindakan undang-undang dapat diambil terhadap Setiausaha Politik itu...saya membuat aduan ini kerana mendapati tindakan Setiausaha Politik itu telah menyalahguna kuasa dan bersikap tidak adil,” katanya.

Sementara itu, Misbahul Munir menyifatkan dua laporan BPR itu sebagai gimik politik oleh pihak yang ingin menonjolkan diri semasa musim persidangan perwakilan bahagian Umno sekarang.

Dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini petang ini, beliau mendakwa surat yang didakwa sebagai bukti salah guna kuasa itu adalah surat biasa daripada Setiausaha Politik bagi memudahkan pengurusan kerajaan negeri.

Beliau berkata surat itu dikeluarkan selepas beliau menerima aduan daripada JKKK yang baru dilantik kerajaan negeri bahawa mereka menghadapi masalah mendapatkan kerja-kerja penyenggaraan tali air, parit dan longkang dari Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

"Seperti yang berlaku di masa lain, saya telah mengeluarkan surat memohon Pengarah JPS untuk memberikan kerja-kerja terbabit terus kepada JKKK ataupun melalui LPP kepada JKKK...tidak timbul soal mengarahkan kerana saya hanya memohon dan keputusan muktamad adalah ditangan Pengarah JPS, Datuk Ir Abdul Razak Dahalan," katanya.

Beliau mendakwa tindakan Zainol Padzi itu hanya gimik politik murahan Umno untuk mencari apa jua kesilapan yang mungkin dilakukan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

"Sesungguhnya dalam kes surat saya kepada pengarah JPS, saya sesekali-kali tidak pernah mengarahkan diserahkan kerja-kerja selenggaraan parit kepada JKKK yang baru," katanya.

Beliau berkata pengarah JPS juga tidak perlu melaksanakan permintaan yang beliau lakukan itu jika ia salah dan bertentangan dengan etika.

Misbahul Munir berkata beliau sedia disiasat dan dipanggil BPR berhubung dakwaan berkenaan kerana ia adalah tugasan yang dilakukan dalam bidang kuasanya sebagai Setiausaha Politik.

No comments

Powered by Blogger.