Pemuda Machang Calonkan Khairy Untuk Jawatan Ketua Pemuda

MACHANG, 9 Okt (Bernama) -- Pemuda Umno Bahagian Machang hari ini mencalonkan Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin untuk jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti Mac depan.

Pada persidangan perwakilannya yang dihadiri di Sekolah Menengah Sains di sini yang dihadiri 337 anggota daripada 125 cawangan, Khairy mendapat 96 undi dan Anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir memperoleh 78 undi manakala anggota perwakilan lain tidak mengundi.

Bahagian itu mencalonkan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kapar di Selangor, Faizal Abdullah, untuk jawatan Naib Ketua.

"Kami merasakan Khairy mampu menggalas tanggungjawab besar dalam usaha memperkasakan Pemuda dan seterusnya memperkuatkan Umno," kata Eriandi Ismail, yang menang tanpa bertanding jawatan Ketua Pemuda Bahagian Machang menggantikan Datuk Sazmi Miah yang melepaskan jawatan kerana faktor umur.

Umno Bahagian Machang akan mengadakan mesyuarat perwakilannya esok.

Wanita Umno bahagian itu, yang juga mengadakan mesyuaratnya hari ini, mencalonkan Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bagi mempertahankan jawatan masing-masing sebagai ketua dan naib ketua Wanita Umno.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.