Amanat Ketua AMK Malaysia Kepada Pengundi Muda Parlimen Kuala Terengganu


Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera,

InsyaAllah dalam tempoh dua hari lagi Malaysia akan melangkah ke satu persimpangan penting: samada memilih untuk kekal dalam belenggu penjajahan minda atau berubah untuk kesejahteraan hidup.

Kuala Terengganu menyediakan persimpangan bukan sekadar untuk rakyat Terengganu,tetapi untuk rakyat Malaysia keseluruhannya. Harus diingat bahawa pengundi Kuala Terengganu menggalas peranan sebagai ‘duta’ kepada rakyat Malaysia seluruhnya. Justeru tanggungjawab pengundi tidak sekadar mencerminkan hasrat mereka untuk memilih wakil rakyat yang baru, sebaliknya turut mencerminkan iltizam rakyat Malaysia yang kepingin melihat perubahan berlaku di Malaysia.

Terengganu menyimpan nostalgia yang parah; tatkala hak rakyat diragut oleh Umno-BN melalui Pilihanraya Umum Ke-12 pada tahun 2004 yang menyaksikan pengundi hantu berbondong-bondong ‘menziarahi’ Terengganu untuk menunaikan ‘amanah’ Umno-BN untuk memastikan lubuk kekayaan negara melalui hasil petroleum kembali diurus mereka setelah 5 tahun Pas memerintah Terengganu. Pastinya rakyat Terengganu tidak pernah lupa bagaimana Kerajaan Pas dan Rakyat Terengganu dinafikan hak untuk meraih royalti minyak, penutupan MRSM Besut dan Dungun yang menutup peluang anak-anak Terengganu yang pintar untuk melanjutkan pengajian,termasuklah ke tahap merampas tanah rakyat yang dahulunya dikurniakan oleh Kerajaan Pas Terengganu kepada rakyat tempatan.

Lebih menyedihkan siri-siri penindasan terus-terusan berlaku melalui penyalahgunaan jentera kerajaan seperti polis yang bertindak menakutkan rakyat Terengganu daripada menyokong Pakatan Rakyat. Penyalahgunaan ISA, Akta Hasutan, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) berterusan berlaku tanpa segan silu oleh Umno-BN meskipun ia bercanggah dengan Islam dan disanggah oleh rakyat dan komuniti antarabangsa.

Ini bukan babak yang sewajarnya terus dipertontonkan kepada khalayak, sebaliknya babak ini harus disingkir dan dihentikan melalui kuasa rakyat yang diterjemahkan di atas kertas undi.

Pakatan Rakyat akan diwakili oleh YB Haji Mohd Abd Wahid Endut, ADUN Wakaf Mempelam yang telah berkhidmat selama 5 penggal. Kualiti perkhidmatan dan kredibiliti beliau tidak perlu dipertikaikan lagi jika hendak dibandingkan dengan calon Umno-BN yang bersikap elit dan tidak mesra rakyat.

Generasi muda Terengganu, khususnya di Parlimen Kuala Terengganu sangat bertuah kerana diberikan pilihan terbaik melalui Pakatan Rakyat iaitu YB Hj Mohd Abd Wahid. Pastinya peluang ini perlu digenggam erat dan diterjemahkan melalui kuasa undi pada 17 Januari hadapan.

Saya yakin dan percaya bahawa Hj Mohd Abd Wahid, melalui 18 tahun pengalaman sebagai ADUN sama sekali tidak akan menghampakan amanah dan tanggungjawab diserahkan seandainya beliau dikurniakan kemenangan dalam Pilihanraya Kecil ini.

Apa yang diharapkan ialah kebijaksanaan pengundi-pengundi muda Kuala Terengganu untuk terus mengundi Pakatan Rakyat melalui calon Pas untuk mengorak langkah perubahan,bukan sekadar terhad di Terengganu, malah akan turut mengesani gelombang rakyat yang telah dimulakan di seluruh Malaysia seusai 8 Mac lepas.

Pilihan di tangan anda. Ayuh kita buktikan bahawa retorik dan intimidasi politik terlampau Umno-BN hanyalah satu taktik jelek dan jengkel yang menggambarkan keangkuhan kuasa mereka untuk memastikan mereka terus berkuasa meski rakyat makin celik dan bijak.

Undilah calon Pakatan Rakyat, Hj Mohd Abd Wahid Endut untuk kesejahteraan anda, Terengganu dan Malaysia seluruhnya!

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua AMK Malaysia

No comments

Powered by Blogger.