ISU HUDUD : SENJATA UMNO YANG MEMAKAN DIRI


Semangat dendam dan hasad UMNO terhadap hukum Allah [ Hudud ] yang diperjuangkan oleh PAS selama ini sering dijadikan isu terutama di musim pilihanraya dengan harapan ianya boleh menakutkan pengundi bukan Islam agar tidak mengundi PAS dan lebih nekad tindakan mereka ialah supaya kerjasama [ tahaluf ] atau persefahaman parti - parti PAKATAN retak dan belah .

Keterlaluan mereka menentang hukum Allah ini mengatasi tindakan DAP sehingga tergamak mengheret hukum Hudud ke mahkamah . Suatu tindakan yang cukup nekad berdepan dengan keagongan Allah swt.

Jika DAP menolak Hudud , kita sedia memahaminya kerana mereka bukan Islam dan usaha untuk memahamkan mereka mengenai hukum Allah ini sedang giat dilakukan dan Alhamdulillah sedikit sebanyak telah menampakkan hasilnya seperti pemimpin DAP Terengganu dan Pahang jelas sedia memahami dan menerima perjuangan PAS yang bermaksud mahu mendaulatkan syariat Allah di atas muka bumi ini amnya dan di Malaysia ini khasnya .

Tinggal lagi beberapa individu pimpinan DAP Pusat yang masih boleh duduk berbincang dan berunding meskipun membuat kenyataan politik untuk menolak hukum Hudud . Pun begitu dari sudut hati kecil mereka melalui kenyataan lisan mereka kepada pimpinan PAS jelas menunjukkan mereka boleh menerima hukum hudud jika ia diberi penjelasan meluas kepada mereka dan ahli - ahli mereka [ DAP ]

Persoalan besar kita di sini ialah UMNO . Meskipun mereka mengaku muslim tetapi malang mereka sangat konsisten menentang hukum Allah [ Hudud ] dari dilaksanakan . Malah mereka sering menjadikan ianya satu momokan untuk menakutkan pengundi sehingga mereka lupa bahawa mereka telah menghina hukum Allah swt .

Baru - baru ni mereka heboh dan sibuk dengan tampilnya blog yang menghina Nabi saw lalu mengambil langkah menyiasat dan mengharamkannya . Lalu bagaimana pula dengan parti UMNO yang menghina hukum Allah ? apakah tidak parti ini juga wajar diharamkan ?

Segalanya bermula dari sikap UMNO yang Anti Hudud .

Pilihanraya kecil Kuala Terengganu tidak terlepas menyaksikan kesungguhan UMNO yang Anti Hudud . Elok - elok suasana tenang dan non - muslim pun tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai Hudud , tiba - tiba apabila PAS mengulangi hasrat untuk melaksanakan Hukum Hudud melalui Naib Presidennya baru - baru ini , UMNO menggunakan peluang ini untuk menyerang PAS dengan menggunakan TV , akhbar dan radio yang akhirnya mencetus keresahan dikalangan non muslim lalu timbul pula kenyataan pemimpin DAP yang membantah Hudud .

PAS mengulangi hasratnya untuk melaksanakan Hudud justeru itu adalah hukum Allah swt dan ia menjadi sebahagian dari tanggungjawab besar perjuangan PAS . Ia adalah amanah dan prinsip perjuangan yang terus dipertahankan . Golongan yang menganggap PAS telah lari dari prinsip adalah salah dan tidak benar . Kita konsisten dengan dasar dan prinsip perjuangan kita .

Namun setiap kali kita mempertegaskan kembali dasar dan prinsip perjuangan kita bersama Islam dan syariat yang akan didaulatkan , setiap kali itu pula UMNO dan BN akan kepanasan lalu menggunakan seluruh instrument kerajaan untuk menyerang dan menentang . Menunjuk sikap sebenar mereka yang lebih radikal dari DAP dalam menentang hukum Allah swt .

Senjata Makan Tuan .

Alhamdulillah , biarpun mereka mengulang momokan kononnya isu Hudud adalah isu lapok mainan PAS , tapi persoalannya jika ia lapok kenapa UMNO menghidupkannya bagaikan nak rak melalui TV dan akhbar . UMNO yang menghangatkan isu lapok ini . UMNO yang memainkan isu ini agar ia kembali segar .

Kini apabila ia kembali segar , menjadi peluang pula kepada pemimpin PAS untuk memberikan penjelasan kepada umum khasnya non muslim supaya bersedia untuk menerima hukum Allah yang Maha Adil ini . Alhamdulilah , Kelab Penyokong PAS yang rata - ratanya non Muslim kini boleh menerima hudud .

Kenyataan Balasubramaniam sebagai Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong PAS yang mengulangi kenyataan pengerusi mereka bahawa mereka sangat memahami hudud dan sedia menyokong PAS tidak berbelah bahagi dan mereka berjanji untuk menemui golongan bukan Islam bagi memberikan penjelasan mengenai Hudud .

Alhamdulillah , bukan sahaja isu hudud ini kembali menikam UMNO tetapi ia menjadi ruang dakwah PAS kian lebar dan ia mula memasuki ruang yang lebih mencabar iaitu kelompok non muslim . Semakin hari semakin menampakkan kejayaan dakwah yang dibawa oleh PAS . Semoga Allah memberi kekuatan dan kemenangan kepadanya

http://ustaznasrudin-tantawi.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.