Kit Siang Sampai Petang, Anwar & Tok Guru Terus Ke Tempat Ceramah - Malaysiakini
Kuala Terengganu – Para pemimpin utama Pakatan Rakyat sudah mengesahkan kehadiran masing-masing untuk menyampaikan ucapan dalam ceramah sempena Meraikan Kemenangan Pilihanraya Kecil P.036 Kuala Terengganu.
Penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP) YB Lim Kit Siang dijangka akan sampai dengan penerbangan dari Pulau Pinang pada jam 2.00 petang ini.
Menurut Pengerusi DAP Cawangan Kampung Cina, Ng Chai Hing, belum dapat dipastikan samada YB Kit Siang mempunyai apa-apa program sebelum hadir ke program ceramah malam ini.
“Saya tak pasti, apa susunan program YB Lim Kit Siang, mungkin satu sidang media awal akan diadakan, saya akan hubungi,”katanya ketika dihubungi Buletinonline tengahari ini.
Manakala Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato Seri Anwar Ibrahim dijangka sakan sampai jam 8.30 malam ini dengan penerbangan dari Kuala Lumpur.
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat pula akan bertolak dari Kota Bharu dengan kereta sekitar jam 5.00 petang.
Pegawai Penerangan PAS Kelantan, Wan Zulkifli Wan Mohamad ketika dihubungi berkata Tok Guru akan terus ketempat ceramah dan terus pulang selepas majlis selesai.
Ceramah Perdana sempena kemenangan calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut yang mewakili Pakatan Rakyat dilihat sebagai satu acara motivasi meneruskan momentum petugas Pakatan bagi persiapan menghadapi pilihanraya yang akan datang.
Dalam pilihanraya kecil yang berlangsung pada Sabtu lalu, Wahid mendapat 32,883 undi manakala calon Barisan Nasional Wan Ahmad Farid dengan 30,252 undi.
Calon PAS mencatat sejarah menang dengan majoriti 2,631 dan menguasai ke empat-empat DUN dalam Parlimen Kuala Terengganu.
No comments
Post a Comment