Mahathir: Berubah jika mahu BN menang PRU ke-13

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata Barisan Nasional (BN) perlu melakukan perubahan jika parti itu jika ingin memastikan kejayaan dicapai dalam pilihan raya akan datang.

Menurutnya kekalahan BN di tangan PAS dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu semalam adalah berpunca daripada kebencian rakyat terhadap kepimpinan parti itu.

"Semua orang tak suka kepada Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dan calon pilihannya.

"Sebahagian daripada sebab mereka tidak meyokong (BN) ialah kerana mereka tidak suka kepada calonnya," katanya dalam sidang media selepas merasmikan program Kempen Selamatkan Rakyat Palestin anjuran Gabungan Badan Bukan Kerajaan Malaysia Menentang Penindasan Rakyat Palestin di sini hari ini.

Jelas beliau lagi pada dasarnya kedua-dua parti iaitu BN dan PAS mempunyai masalah mereka yang tersendiri.

"Namun masalah BN ini ialah meletakkan calon yang tidak disukai oleh orang ramai semata-mata kerana dia ialah calon Pak Lah.

"Mereka juga tidak suka kepada PAS dan mereka terpaksa membuat pilihan dan saya fikir mereka seperti pilihan raya umum Mac 2008, pilihan mereka ialah untuk menolak BN kerana mereka tidak suka kepada kepimpinan BN lebih daripada mereka tidak suka kepada parti-parti lawan," katanya.

No comments

Powered by Blogger.