malaysia rakan kongsi ISRAEL DAN AMERIKA?
Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan (Pemudawilayah) hari ini melahirkan rasa kekesalan terhadap tindakan Syarikat Celcom (M) Berhad yang menaja dan akan turut menganjurkan program Xpax ignites Rihanna LIVE in Kuala Lumpur pada hari Jumaat, 13 Februari 2009 nanti.
Rihanna yang terkenal dengan lagu Bad Girl dan Umbrella sebelum ini dijangka akan mengadakan persembahan lewat pukul 8.30 malam di Stadium Bukit Jalil nanti. Iklan-iklan telah mula disebarkan melalui kaca TV, Surat Khabar, SMS dan ternyata ia adalah suatu usaha yang bersungguh dari Celcom dalam mengaut keuntungan dalam mengorganisasikan konsert ini.
Rihanna atau nama sebenarnya Robyn Rihanna Fenty merupakan artis kelahiran Kepulauan Barbados yang menempah nama di Amerika Syarikat. Beliau yang berkecimpung dalam genre R&B, Pop,Pop-Rock, dance dan reggae sering membawakan aksi yang menghairahkan dalam penyampaian lagu-lagunya disamping mengenakan pakaian ketat dan seksi.
Ini sememangnya tidak memenuhi citarasa budaya tempatan, dan tidak secocok dengan celcom yang dilihat sebagai sebuah syarikat tempatan yang sewajarnya mengutamakan budaya ketimuran dan artis-artis tempatan.
Kehadiran Rihanna yang kini sudah menetap di Amerika Syarikat sedikit sebanyak akan membawa keluar wang negara yang akhirnya akan masuk ke Amerika.
Melihat kepada pengaliran wang ini, bukan sahaja membawa kita memahami erti kerugian buat negara tetapi satu penderitaan buat rakyat Palestine dimana Amerika yang menjadi sekutu Israel membekalkan senjata ketika pembunuhan ngeri di Gaza hasil dari sumbangan dan dana cukai yang diberi oleh penduduk Amerika.
Sama ada Rihanna sedar atau tidak kita sememangnya tahu bahawa duit cukai yang dibayar beliau turut menyumbang kepada peperangan di Gaza.
Maka Pemudawilayah menolak kehadiran artis ini di Malaysia atas dasar ketidaksesuaian gaya penyampaian lagu, pakaian dan juga atas sentimen menghormati rakyat Palestine yang tertindas angkara kekejaman Israel dan sekutunya-Amerika yang ditaja oleh kebanyakkan penduduknya.
Sama ada Rihanna terlibat atau tidak, bagi kami beliau juga adalah agen kepada kerosakkan muda-mudi yang ada diseluruh dunia melalui penyampaian lagunya dan juga penyumbang kepada kekuatan dana Israel melalui Amerika yang menjadi tempat beliau menempah nama.
Memanggil Rihanna ke Malaysia umpama menghina adab ketimuran, merendahkan artis tempatan, sengaja merugikan ekonomi negara dan menyokong dasar perang Israel yang disokong Amerika.
Sewajarnya dalam suasana ekonomi yang tidak menentu dan palestine ditindas kini, kita meneruskan kempen boikot barangan Amerika termasuklah artis-artis mereka serta apa sahaja yang dikeluarkan dari negara itu terutama perkara-perkara yang negatif.
Justeru itu Pemudawilayah menyeru organisasi Kerajaan seperti Kementerian Luar Negeri, Imigresesn, Puspal, DBKL, Polis dan yang terlibat dalam mengeluarkan permit Konsert ini untuk menolak permohonan penganjur bagi membawa artis ini.
Organisasi NGOs dan parti-parti Politik serta orang perseorangan juga diseru untuk menolak Konsert ini dan menyatakan bantakan mereka dengan menghantar bantahan kepada Celcom dan organisasi Kerajaan yang terlibat dalam mengeluarkan permit konsert ini.
Pemudawilayah dalam masa terdekat akan mengemukakan surat bantahan bagi memastikan konsert ini dibatalkan. Cukuplah dengan segala macam bencana yang berlaku sekeliling kita, jangan diundang lagi apa yang kita tidak mampu hadapinya dimasa akan datang dengan cara yang sebegini.
Kita sibuk menderma untuk tabung Gaza tapi dalam masa yang sama wajarkah kita menyumbang kepada tabung peperangan Israel melalui konsert Rihanna ini?
Sesungguhnya Pemudawilayah akan terus konsisten menentang konsert-konsert yang tidak mengambarkan akhlak dan nilai ketimuran yang positif serta turut mengundang pelbagai masalah sosial di negara ini. Kami juga akan terus konsisten untuk memboikot apa sahaja produk Amerika yang merugikan negara dan menyumbang kepada peperangan atau kerosakkan di muka bumi ini.
Sekian. Terima Kasih.
Kamaruzaman Mohamad
Ketua
Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan
No comments
Post a Comment