Presiden AS mula bekerja



OBAMA (dua dari kanan) dan isteri, Michelle mengiringi bekas Presiden AS George W. Bush (dua dari kir) dan isterinya menuju ke sebuah helikopter untuk pulang ke Texas dari Washington kelmarin.


WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama tanpa melengahkan masa mula mengadakan mesyuarat dengan pasukan penasihat ekonomi dan kalangan komander tentera semalam sehari selepas beliau menduduki White House.

Masalah ekonomi dan isu Iraq merupakan dua agenda utama yang dibincangkan di White House pada hari pertama Obama menerajui negara kuasa besar itu.

Obama memanggil pakar-pakar ekonomi untuk merancang pelan pemulihan ekonomi menerusi pakej rangsangan berjumlah AS$825 bilion (RM2.9 trilion) yang dipersetujui Kongres sebelum ini.

Kakitangan White House turut diarah supaya memikirkan cara membaik pulih dasar luar AS yang tercalar di mata dunia semasa di bawah pentadbiran Presiden George W. Bush.


LAUTAN manusia yang membanjiri dekat bangunan Capitol untuk menyaksikan majlis angkat sumpah Obama di Washington, kelmarin.


Beliau juga menemui kalangan pemimpin tentera bagi merumuskan formula pengunduran tentera AS dari Iraq selain meningkatkan pembabitan negara itu di Afghanistan seperti yang dijanjikan dalam kempennya pada tahun lalu.

Selain agenda rasmi, Obama mengalu-alukan kehadiran pelawat awam ke White House ketika Kongres meneliti pelan pemulihan ekonomi beliau dan membincangkan pencalonan Hillary Rodham Clinton sebagai Setiausaha Negara dan Timothy Geithner bagi jawatan Setiausaha Perbendaharaan.

"Malam ini kita meraikan. Esok, tugas kita bermula, saya yakin kita akan melakar lembaran baru dalam sejarah AS," kata Obama dalam majlis tarian White House malam kelmarin.

- Agensi

No comments

Powered by Blogger.