Rakyat Selangor Yang Kehilangan Pekerjaan Boleh Mohon Bantuan Zakat ~ Malaysiakini

SHAH ALAM, 19 Januari - Rakyat Selangor khususnya yang sudah berkeluarga yang kehilangan pekerjaan mahupun terjejas pendapatan akibat krisis ekonomi ketika ini boleh memohon bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Demikian dinyatakan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Dato’ Mohamad Adzib Mohd Isa dalam satu sidang media mengenai hal ehwal zakat di Bangunan Sultan Idris Shah tengah hari tadi.

Menurut beliau, Mais melalui LZS akan memperuntukkan wang zakat bagi membantu meringankan beban mereka yang menghadapi masalah kewangan yang mendesak.

“Bagi mereka yang kehilangan pendapatan akibat diberhentikan, LZS sedia menghulurkan bantuan agar kehidupan mereka dan anak-anak tidak terjejas,” katanya.

Mohamad Adzib berkata LZS akan membuat penilaian kelayakan mereka yang boleh diberi bantuan berdasarkan beberapa kategori asnaf.

“Ramai yang mungkin memerlukan ratusan ringgit untuk membiayai persekolahan anak-anak dan mereka boleh dipertimbangkan berdasarkan asnaf fisabilillah,” katanya.

Beliau berharap ketua-ketua masyarakat akan dapat menghebahkan bantuan yang disediakan LZS itu agar dapat membantu masyarakat yang benar-benar memerlukan bantuan kewangan. – NOOR ALLIA KASSIM


http://ckcounterpunch.wordpress.com/2009/01/21/rakyat-selangor-yang-kehilangan-pekerjaan-boleh-mohon-bantuan-zakat-malaysiakini/

No comments

Powered by Blogger.